Sumber air penduduk orang Asli terjejas, air sungai keruh akibat pembalakan - Utusan Malaysia

Sumber air penduduk orang Asli terjejas, air sungai keruh akibat pembalakan

KIRA-kira 50 orang penduduk orang Asli dari tiga buah perkampungan di kawasan Bukit Galla, Nilai menyatakan bantahan mengenai aktiviti pembalakan yang menjejaskan sumber air mereka pada sidang akhbar di Balai Raya Kampung Orang Asli Sungai Mahang, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lebih 1,000 orang penduduk di tiga buah perkampungan orang Asli di Bukit Galla, Nilai di sini terjejas selepas sungai yang menjadi sumber air mereka kini keruh akibat aktiviti pembalakan di kawasan hutan di situ.

Tiga buah kampung itu adalah Kampung Orang Asli Tekir, Kampung Orang Asli Belihoi dan Kampung Orang Asli Sungai Mahang.

Wakil penduduk Kampung Orang Asli Sungai Mahang, Panjang Pandak Tah, 63, berkata, pada awalnya mereka tidak terkesan serta membiarkan aktiviti pembalakan yang sudah pun mendapat kelulusan itu memulakan kerja-kerja pada tahun lalu.

Namun katanya, segalanya berubah apabila hujan lebat berlaku pada 17 Ogos lalu.

“Air jadi terlalu keruh, sedangkan air inilah menjadi kegunaan utama penduduk di sini. Kami mahu penyelesaian bagi masalah kesan kepada pembalakan ini, kami bising sebab masalah air yang kotor dan tercemar. 

“Aktiviti pembalakan ini juga membawa kepada kemusnahan mata pencarian hasil kami yang bergantung pada hutan seperti rebung, pucuk paku, tongkat ali dan kacip fatimah.

“Jika diteruskan, bukan sahaja orang Asli di sini, binatang juga tidak ada makanan. Kami tinggal di pinggir-pinggir hutan sebab itu kami tidak suka pembalakan, selagi dapat air kotor, selagi itulah kami akan terjejas, kami mahu ihsan dari pihak kerajaan tentang masalah ini,” katanya.

Dia berkata demikian ketika sidang akhbar bantahan penduduk mengenai pembalakan tersebut di Balai Raya Kampung Orang Asli Sungai Mahang, di sini, hari ini.

Penduduk Kampung Orang Asli Tekir, Julie Lancong, 64, pula memberitahu surat bantahan penduduk telah dihantar pada pertengahan bulan lalu kepada pelbagai agensi termasuk kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Hutan ini bukannya kami lihat untuk keuntungan tapi hutan ini perlindungan dan kesejahteraan sebab itulah sahaja semua sumber-sumber orang Asli peroleh sebagai mata pencarian. Hal ini sangat serius, kerana kami yang tanggung,” katanya.

Ketua Adat Kampung Orang Asli Belihoi, Langkap Kesui, 64, pula berkata, dia juga sedih serta kesalnya kerana aktiviti pembalakan tersebut telah memusnahkan tanda kubur nenek moyangnya dan penduduk lain.

“Dulu ada pokok untuk dijadikan tanda, namun kini tiada. Lebih penting lagi, sumber air bagi tiga buah kampung orang asli sudah terjejas. 

“Jika terus dibiarkan, tidak mustahil empat buah kampung orang Asli lain iaitu Kampung Kedat, Gebok, Chedang dan Sungai Raya juga akan menerima nasib sama,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin ketika memberi maklum balas isu tersebut, memaklumkan akan meminta Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan untuk mengambil tindakan sewajarnya atas dakwaan penduduk Orang Asli yang terkesan akibat aktiviti pembalakan di kawasan itu.

“Saya selalu minta Jabatan Perhutanan lihat semula kawasan jika ada pelanggaran, tetapi menurut mereka tiada apa-apa yang melanggar peraturan, pembalakan tersebut sah dan lesen telah diberikan pada tahun 2019, balak yang ditebang juga terpilih sahaja iaitu pokok yang matang.

“Kawasan pembalakan itu juga jauh dari kawasan penduduk, jadi tidak timbul isu,” katanya yang memberitahu masyarakat orang Asli di situ telah bersetuju di peringkat awal untuk aktiviti pembalakan tersebut dijalankan ketika perbincangan diadakan di antara Jabatan Perhutanan, pemilik lesen pembalakan dan penduduk.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya