Tiada lagi kerajaan minoriti di Negeri Sembilan

Tiada lagi kerajaan minoriti di Negeri Sembilan

AMINUDDIN Harun (tengah) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kedudukan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan kembali menjadi majoriti selepas krisis politik yang berlaku pada 27 April lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tiada lagi pentadbiran kerajaan secara minoriti seperti yang diumumkannya sebelum ini.

Katanya, kedudukan itu selaras dengan keputusan dibuat Biro Politik Pakatan Harapan (PH) bersama Biro Politik UMNO untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

“(Kerajaan minoriti itu) cuma pada hari kejadian (27 April). Itu pun tidak jelas sebab tiada kepastian sebenarnya mengenai jumlah yang menarik sokongan.

“Sekarang tidak ada minoriti lagi. Sebab itu saya cakap saya kerja macam biasa,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Krisis politik di negeri ini bermula apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mengisyhtiharkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Sementara itu, Menurut Aminuddin, sehingga kini kerajaan negeri belum memutuskan mengenai jawatan Exco yang dikosongkan oleh ADUN BN sebelum ini.

“Kita hanya mengagihkan tugas-tugas Exco yang kosong kepada Exco yang ada,” ujarnya.

Katanya, beliau menjangka pelantikan Exco baharu akan mengambil sedikit masa tanpa menetapkan sebarang tempoh.

Aminuddin memberitahu, beliau juga belum menetapkan tarikh baharu Persidangan DUN yang telah ditangguhkan pada 23 April lalu.

Jelasnya, pihaknya sedang menyediakan dokumen berkaitan dan meneliti rang undang-undang (RUU) yang dijadualkan untuk dibentang.

Mengenai saman pemula yang difailkan oleh Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong yang antaranya menamakan kerajaan negeri sebagai defenden, Aminuddin memberitahu, saman tersebut telah diterima dan akan diambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

Beliau juga tidak mahu mengulas isu pelantikan Undang Luak Sungei Ujong yang baharu dengan mengekalkan pendirian kerajaan negeri untuk tidak campur tangan dalam urusan adat di mana-mana luak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN