SEREMBAN: Pasukan hoki wanita Negeri Sembilan menjarakkan mata berbanding pesaing terdekat dalam Liga Hoki Malaysia TNB 2026 apabila menumpaskan Perak, 11-0, di Stadium Hoki Seremban 2 di sini petang tadi.
Kemenangan yang keempat itu membolehkan pasukan tersebut mengutip 12 mata berbanding pesaing di tempat kedua, Malaysian University (MU) dan Terengganu di tempat ketiga, masing-masing dengan sembilan mata.
Penyerang kebangsaan, Nuramirah Shakirah Zulkifli sekali lagi muncul penjaring terbanyak dengan tiga gol pada minit ke-21, 28 dan 41.
Pemain import dari India, K. Vandana menjaringkan gol pada minit ke-3 dan 30 manakala seorang lagi pemain kebangsaan, Nur Afiqah Syahzani Azhar menyumbat gol pada minit ke-19 dan 48.
Dua gol disumbangkan oleh Nur Zariefah Dania Mazlan pada minit ke-24 dan 25.
Satu gol masing-masing dijaringkan oleh Irdina Madihah Azmi pada minit ke-29 dan Siti Nur Arfah Binti Mohd. Nor pada minit ke-32.
Keputusan itu menyaksikan Negeri Sembilan telah menjaringkan 42 gol daripada empat perlawanan berbanding enam gol oleh MU.
Pasukan itu merupakan satu-satunya daripada tujuh pasukan dalam liga yang belum bolos sebarang gol sehingga kini. – UTUSAN










