Sertai PRK bukan sebab mahu menang semata-mata - Khaled - Utusan Malaysia

Sertai PRK bukan sebab mahu menang semata-mata – Khaled

MOHAMED KHALED NORDIN melawat gerai pameran selepas merasmikan UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang, Bandar Seri Alam, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UMNO tetap akan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman bagi memberi pilihan kepada pengundi kawasan berkenaan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, parti itu menyertai pilihan raya bukan atas dasar menang atau kalah semata-mata, sebaliknya lebih daripada itu.

Menurutnya, PRK adalah tempoh terbaik bagi parti politik termasuk UMNO mendekati masyarakat setempat dan menyampaikan hala tuju perjuangan mereka.

“Sama ada menang atau kalah itu bukan persoalannya, ia juga bukan soal berani atau takut. Tetapi bila ada PRK, ia beri peluang kepada kita berjumpa dengan rakyat dan terangkan mengenai prinsip perjuangan serta perancangan parti dan sebagainya.

“Jadi, terserahlah kepada rakyat sama ada mereka nak terima atau tidak. Kalau Pas yakin boleh menang besar, buat apa mereka takut kalau kita masuk, insya-Allah kita akan letak calon,” katanya selepas merasmikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang dan Hari Industri 2023 di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata bahawa masih belum terlambat untuk UMNO menarik diri daripada PRK Parlimen Kemaman.

Menurutnya, langkah itu bagi mengelak kekalahan memalukan UMNO seperti yang berlaku dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu, sebelum ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN