Saman lori: JPJ ikut akta sedia ada

Saman lori: JPJ ikut akta sedia ada

SEKUMPULAN pemandu lori mengadakan perhimpunan secara aman dan menyerahkan memorandum yang mengandungi beberapa tuntutan dan cadangan kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan di Kuantan, Pahang semalam. – UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Salah tetap salah. Itu penegasan Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan terhadap pemandu lori yang melakukan kesalahan termasuk membawa muatan berlebihan.

Menegaskan kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, operasi penguatkuasaan yang dilakukan JPJ terhadap kenderaan berat adalah berlandaskan prosedur dan akta sedia ada di bawah jabatan itu.

Kata beliau, ketidakpuasan hati segelintir pemandu lori yang berhimpun dan melakukan protes di beberapa negeri sejak beberapa hari lalu terdiri daripada mereka yang dikenakan tindakan kerana tidak mematuhi undang-undang.

MUATAN

“Sepanjang operasi ini, banyak kesalahan jalan raya yang dikesan antaranya memandu tanpa lesen dan membawa muatan berlebihan.

“Kesalahan seumpama ini berbahaya dan berisiko membawa kemalangan maut di samping mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, protes yang dilakukan oleh segelintir individu itu tidak mewakili keseluruhan pemandu lori yang ada di negara ini.

“JPJ hanya melaksanakan undang-undang, isu lain, sepatutnya ia dibincangkan dalam kalangan pemandu lori dan pemain industri,” jelasnya.

LEBIH 1,000 pemandu lori di Kelantan turut mengadakan perhimpunan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan di Kota Bharu, semalam.

Dalam pada itu, Lokman berkata, pihaknya sedang memperincikan kesalahan dan jumlah saman yang dikeluarkan dalam operasi khas besar-besaran terhadap kenderaan perdagangan khususnya berkaitan lebihan muatan di seluruh negara sehingga penguatkuasaan ini tamat hujung bulan ini.

Sebelum ini, terdapat keluhan sekumpulan pemandu kenderaan berat buntu selepas lori-lori milik mereka masih belum dilepaskan daripada sitaan JPJ sejak sembilan bulan lalu hingga menyebabkan masing-masing terus hilang punca pendapatan.

Media melaporkan sekumpulan pemandu kenderaan berat itu mendakwa mereka telah pun melangsaikan kompaun atas kesalahan membawa lebih muatan.

JPJ dalam kenyataan sebelum ini menegaskan kes lori yang di­sita kerana membawa muatan berlebihan tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah.

Syarikat pengangkutan terlibat perlu menyelesaikan proses berkaitan dengan mahkamah berdasarkan prosedur yang ditetapkan Seksyen 57 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

BERHIMPUN

Sementara itu, lebih 3,000 pemandu lori berhimpun secara aman di pejabat JPJ Kota Bharu, Kuantan dan Bukit Mertajam sebagai bantahan terhadap operasi berterusan JPJ.

Mereka turut menyerahkan memorandum mengandungi beberapa tuntutan termasuk memberikan sedikit kelonggaran terhadap had muatan yang boleh dibawa dan menghapuskan penggunaan ‘penimbang karpet’ kerana didakwa kurang efisien.

Selain itu, mereka juga me­nuntut sistem demerit dihapuskan kerana disifatkan tidak adil kepada pemandu dan mahu pihak berkuasa turut menyaman pengusaha lombong, kuari dan kilang kerana membenarkan lori keluar dari premis mereka dengan muatan berlebihan.

Seorang pemandu lori, Mohd. Irwan Shah Ibrahim, 38, berkata, peraturan dan syarat operasi yang dikenakan terhadap pemandu ada yang sudah ketinggalan zaman dan perlu dikaji semula mengikut keperluan semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN