Ringgit lemah jejas import, pelabur - Utusan Malaysia

Ringgit lemah jejas import, pelabur

Ringgit yang terus melemah berbanding dolar AS akan memberi kesan kepada import makanan selain menjejaskan pelabur.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejatuhan nilai ringgit akan memberi kesan kepada sektor import makanan di negara ini yang sehingga kini mencatatkan jumlah sekitar RM62 bilion setahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abd. Latiff berkata, keadaan tersebut akan menyebabkan aktiviti import menjadi lebih perlahan.

Menurut beliau, apabila harga makanan yang diimport meningkat, ini sekali gus menyebabkan permintaan menurun kerana nilai ringgit masih menyusut.

“Bagaimanapun, sektor eks­port dijangka meningkat kerana barangan negara ini akan menjadi lebih kompetitif di pasaran global disebabkan kejatuhan nilai ringgit,” katanya ketika dihubungi.

Ringgit menunjukkan trend penurunan dan semalam mencatatkan RM4.8 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Dalam pada itu, Ahmed Razman berkata, walaupun kos pelaburan menjadi lebih murah, akan tetapi, keadaan tersebut menjejaskan pulangan kepada pelabur jika terlau lemah dan mengalami susut nilai.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan mengambil tindakan lebih proaktif dengan memantau pergerakan ringgit bagi mengurangkan kesan ketara kepada penurunan nilai mata wang negara.

Selain itu, katanya, aktiviti pengeksportan perlu banyak digalakkan yang mana menggunakan komponen tempatan dengan meningkatkan pekerja tempatan berbanding pekerja asing.

MENAMBAT

Ditanya, sekiranya kaedah menambat ringgit dapat digunakan apabila nilai mata wang mula meningkat, kata Ahmed Razman, cara tersebut akan menjejaskan kepercayaan pelabur asing.

“Jika duit ditambat, pelabur tidak dapat menukar ringgit kepada harga pasaran apabila mahu bawa keluar pulangan atas pelaburan yang dibuat, maka, ini akan merugikan mereka dan besar kemungkinan pelabur akan menarik diri,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, intervensi terhadap ringgit harus dilaksanakan dengan tidak menunggu nilai mata wang mencapai RM5 dan ke atas berbanding dolar AS.

“Jika penambatan ringgit perlu dibuat, maka Bank Negara Malaysia perlu memastikan harga produk dapat distabilkan demi mengekang inflasi daripada terus menaik,” katanya.

Namun, katanya, kaedah menambat ringgit hanyalah langkah sementara untuk mengatasi kejatuhan nilai ringgit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN