KUALA LUMPUR: Prestasi Kewangan Kerajaan Persekutuan 2022 melonjak kepada RM294.357 bilion iatu peningkatan sebanyak RM60.605 bilion atau 25.9 peratus berbanding RM233.752 bilion pada tahun sebelumnya.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, perbelanjaan mengurus yang diguna pada 2022 adalah RM292.693 bilion.
“Lebihan hasil daripada perbelanjaan mengurus adalah sebanyak RM1.664 bilion dan ia sudah dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan menjadikan perbelanjaan mengurus sebenar pada 2022 berjumlah RM294.357 bilion.
“Perbelanjaan pemberian dan kenaan bayaran tetap menjadi perbelanjaan tertinggi dengan RM170.243 bilion atau 57.8 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus,” katanya dalam kenyataan Laporan Ketua Audit Negara Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2022.
Beliau juga berkata, perbelanjaan pembangunan kementerian dan jabatan Persekutuan yang sudah dibelanja berjumlah RM71.574 bilion atau 104.5 peratus berbanding peruntukan diluluskan.
Katanya, perkara yang termasuk dalam perbelanjaan pembangunan adalah sejumlah RM6.068 bilion yang dikenakan dalam tempoh Akaun Kena Bayar.
“Perbelanjaan ini adalah di peringkat Kementerian Kewangan dan membabitkan penyaluran peruntukan kepada syarikat DanaInfra Nasional Berhad, Prasarana Malaysia Berhad serta Urusharta Jamaah Sdn. Bhd.
“Sejumlah RM17.086 bilion pula sudah dibelanja bagi pelunasan komitmen jaminan, iaitu meningkat sebanyak RM7.439 bilion atau 77.1 peratus berbanding 2021 yang berjumlah RM9.647 bilion,” katanya. – UTUSAN