PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan untuk mendapatkan semua aset milik bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng yang diseleweng daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya masih dalam proses menyoal siasat lelaki berusia 51 tahun itu.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan serta mendapatkan semua aset-aset dipercayai dimilikinya hasil daripada penyelewengan dana 1MDB.
“Setakat ini Roger memberikan kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang proses siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Pada 10 Oktober lalu, Razarudin mendedahkan siasatan dijalankan pihaknya terhadap Roger tertumpu kepada modus operandi berkaitan penjualan bon dipercayai dana 1MDB
Beliau dilaporkan berkata, siasatan tersebut dilaku di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA).
Kata beliau, siasatan memfokus kepada modus operandi Roger dalam penjualan bon termasuk komisen yang diperoleh.
Pada 7 Oktober lalu, media melaporkan Roger yang sedang menjalani hukuman penjara di Amerika Syarikat (AS) diperintahkan mahkamah untuk menyerah diri kepada Perkhidmatan Marshal AS sebelum diserahkan kepada Malaysia untuk menghadapi perbicaraan di negara ini.
Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan di Bandaraya New York memerintahkan agar Ng Chong Hwa (atau lebih dikenali sebagai Roger Ng) dibawa balik ke AS selepas perbicaraan di Malaysia untuk menjalani hukuman penjara 10 tahun yang telah dijatuhkan ke atas lelaki itu.
Roger dijatuhkan hukuman penjara selepas juri mendapati dia bersalah kerana membantu bekas bos Goldman, Tim Leissner mencuri wang 1MDB selain melakukan penggubahan wang haram menggunakan dana tersebut. – UTUSAN










