Penuntut IPTA, guru pelatih IPG cenderung terjebak pembelian ‘online’, scam cinta - Utusan Malaysia

Penuntut IPTA, guru pelatih IPG cenderung terjebak pembelian ‘online’, scam cinta

AZLI Mohd. Noor (berdiri depan, tiga dari kiri) bersama pensyarah dan tetamu semasa program Ceramah Pencegahan Jenayah Komersial di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan Pahang di Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Penuntut di institut pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk guru pelatih di Institut Pendidikan Guru (IPG) antara mangsa yang terjerat penipuan siber berasaskan kecenderungan tinggi menerusi pembelian secara dalam talian yang melibatkan aplikasi Facebook, TikTok dan beberapa saluran lain.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, terdapat juga dalam kalangan penuntut dan guru pelatih termasuk staf berkenaan terjebak sindiket penipuan dalam talian yang kini bergerak aktif seperti scam cinta, macau scam, pekerjaan, pelaburan tidak wujud, bungkusan dan juga pinjaman dalam talian.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis pada tahun ini menerima 191 laporan kes penipuan secara dalam talian dan 33 orang sudah ditangkap.

“Dari jumlah tersebut, terdapat tiga kes melibatkan pelajar IPG tahun ini, iaitu pembelian telefon secara dalam talian, tawaran internet percuma, kerja sambilan shopee, manakala tiga kes lagi melibatkan staf IPG, iaitu terbabit pelaburan tidak wujud dengan jumlah nilaian keseluruhan kerugian sebanyak RM61,954.94,” katanya di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan Pahang di sini.

Azli berkata demikian selepas merasmikan program Ceramah Pencegahan Jenayah Komersial dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad yang dihadiri seramai 1,200 orang terdiri daripada pensyarah, guru pelatih IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan Pahang dan guru sekitar daerah ini.

Pengisian utama program membabitkan sesi ceramah Perkongsian Ancaman dan Pencegahan Jenayah Komersial yang disampaikan oleh Ketua Unit Siasatan Jenayah Hartanah, Bahagian Siasatan Jenayah Pemalsuan/Pelencongan/ Hartanah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Superintenden Nur Asrul Ariff.

Menurut Azli, empat kes penipuan secara dalam talian juga dilaporkan tahun ini melibatkan guru pelatih dan guru di daerah ini dengan jumlah nilaian RM38,272.22.

“Dalam tempoh tiga tahun lalu, polis di sini menerima laporan empat kes penipuan yang paling banyak dan ketara, iaitu penipuan telekomunikasi (termasuk macau scam), pinjaman tidak wujud, scam cinta dan penipuan berkaitan pembelian dalam talian.

“Menerusi siasatan polis, sikap yang cuai, mudah terpengaruh dengan promosi jenama tertentu secara dalam talian, pujukan dalam scam cinta di samping tamak merupakan antara punca sebilangan mereka berkenaan mudah terjerat dengan sindiket penipuan,” katanya.

Selanjutnya, beliau menjelaskan penyangak siber mengambil kesempatan serta peluang untuk menipu apabila pembelian secara dalam talian semakin menjadi norma masyarakat malah kini sudah menjadi trend pengguna di semua tempat termasuk penuntut di pusat pengajian tinggi dan institusi perguruan.

Menurutnya, mungkin ramai pengguna yang menyangka pembelian dalam talian dipilih sebagai langkah mudah dan selamat untuk berbelanja bagi memenuhi keperluan diri serta keluarga, tetapi sebaliknya tewas dengan penipuan scammer sekiranya tidak berhati-hati.

“Kebiasaannya polis menerima laporan, iaitu golongan mangsa yang ‘cerdik’ dan ‘berilmu’ serta penjawat awam mudah ditipu oleh macau scam menerusi pembelian atas talian, pelaburan tidak wujud dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya