PETALING JAYA: Kerajaan memberi keutamaan terhadap peningkatan liputan dan kualiti internet di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan premis latihan kerajaan bagi menyokong pengajaran serta pembelajaran digital secara berterusan.
Ia merupakan antara hasil perbincangan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) semalam untuk memperkukuh agenda pendigitalan sektor awam melalui inovasi Kerajaan Madani demi perkhidmatan lebih pantas, mudah, telus dan berfokus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat memutuskan agar Unit Transformasi Digital (DTU) ditubuhkan di setiap kementerian bagi mempercepat pendaftaran MyDigital ID dan memacu pembangunan MyGov Malaysia sebagai gerbang digital tunggal berteraskan kecerdasan buatan (AI).
“Bagi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Hab Kreatif Digital Global menjelang 2030, kerajaan telah merangka Pelan Hala Tuju Ekosistem Kreatif Digital 2026–2030 (DICE Roadmap) sebagai panduan untuk memposisikan negara sebagai peneraju penciptaan harta intelek berkualiti tinggi serta pembangunan bakat kreatif bertaraf dunia,” katanya dalam Facebook beliau kelmarin.
Anwar berkata, segala inisiatif itu menjadi asas kepada Fasa 3 Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (2026–2030) yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan perniagaan, peningkatan taraf hidup rakyat dan reformasi ekonomi digital negara.
“Insya-Allah, Kerajaan Madani akan terus berusaha dengan penuh tekad dan kecekapan, berpaksikan rakyat, demi memastikan Malaysia kekal maju, makmur dan bersedia menghadapi cabaran era digital yang semakin pesat,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerima kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV) hidrogen, Toyota Mirai, daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, semalam.
Perdana Menteri berkata, penerimaan tersebut menandakan langkah penting dalam memperkukuhkan agenda negara ke arah mobiliti hijau melalui teknologi rendah karbon serta pertumbuhan ekonomi bagi masa depan lebih mapan.
Beliau menekankan bahawa inisiatif itu mencerminkan keyakinan rakan industri tempatan dan antarabangsa terhadap dasar serta hala tuju Malaysia, khususnya dalam membangunkan ekosistem hidrogen negara.
Malah, kata beliau, penyerahan kenderaan berkenaan juga akan merancakkan kerjasama rentas sempadan dan memacu inovasi automotif di seluruh Asia Tenggara.
“Kerajaan Madani akan terus menerajui peralihan serantau ke arah mobiliti hijau dan pintar.
“Ia dalam usaha memastikan Malaysia bukan saja bersedia menghadapi keperluan masa depan, tetapi turut menjadi peneraju dalam membentuk landskap mobiliti yang lebih bersih, selamat dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN










