KOTA TINGGI: Gara-gara terpedaya dengan peluang kerja melalui aplikasi Telegram, seorang peniaga kerugian sebanyak RM290,627.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan kes penipuan itu dari seorang wanita berusia 56 tahun pada Jumaat lalu.
Katanya mangsa mengalami kerugian itu selepas melakukan 22 transaksi pemindahan wang ke dalam 15 akaun penerima.
“Kes bermula pada 2 November lalu ketika mangsa melayari aplikasi Instagram telah melihat satu tawaran pekerjaan sambilan iaitu menaikkan rating gambar. Mangsa memasuki laman tersebut dan kemudiannya telah dihubungi seorang perempuan (suspek) yang menawarkan
pekerjaan tersebut kepada mangsa.
“Suspek menawarkan kerja menaikkan rating dengan membeli gambar- gambar dengan berharga diantara RM1,000 sehingga RM1,600 dan akan mendapat pulangan komisen sebanyak 20 peratus untuk setiap sekeping gambar.
“Teruja dengan komisen yang tinggi itu, mangsa telah bersetuju kemudian mangsa dimasukkan di dalam group aplikasi Telegram untuk membuat tugasan rating gambar dengan cara dengan membeli gambar-gambar tersebut yang telah diberikan oleh suspek sehingga mencapai jumlah RM290,627, dari jumlah itu mangsa dijanjikan akan menerima komisen sebanyak RM58,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis apabila menyedari dirinya tertipu dalam tawaran kerja ini apabila gagal mengeluarkan komisennya sebaliknya disuruh oleh suspek
menambahkan wang sebanyak RM138,646 sebagai syarat mengeluarkan wang komisen tersebut.
Tambahnya, ekoran itu polis telah menyiasat kes ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Polis daerah Kota Tinggi menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap tawaran pekerjaan atau tidak berdaftar serta tidak terpedaya dengan tawaran pekerjaan palsu yang menjanjikan pulangan yang sangat lumayan dalam masa yang singkat.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersial terkini dengan mengikuti laman sosial rasmi jabatan siasatan jenayah komersial seperti Facebook, Instagram dan Tiktok.
“Orang ramai diseru untuk menyemak nombor akaun sebelum melakukan sebarang transaksi kepada orang tidak dikenali melalui perkhidmatan semak mule yang tersedia di dalam talian serta memuat turun applikasi whoscall bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan,” katanya lagi.
Sekiranya menjadi mangsa penipuan, mangsa boleh hubungi National Scam Respone Centre (NSRC) di talian 997 dengan seberapa segera sebagai tindakan awal untuk meyekat pengaliran wang keluar dari akaun suspek. – UTUSAN










