Penolong pegawai perubatan mengaku tidak bersalah terima suapan RM3,350 - Utusan Malaysia

Penolong pegawai perubatan mengaku tidak bersalah terima suapan RM3,350

MOH ROFFI Ab. Rahman (kiri) dibawa keluar dari kamar mahkamah selepas didakwa menerima suapan bagi pengurusan jenazah, di Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang penolong pegawai perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas 12 pertuduhan menerima suapan RM3,350 bagi kerja-kerja pengurusan jenazah sejak dua tahun lalu.

Tertuduh, Moh Roffi Ab. Rahman, 57, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh didakwa menerima suapan wang tunai antara RM100 hingga RM800 daripada tiga individu berbeza melalui akaun miliknya berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

Kesalahan tersebut dilakukan di Maybank Islamic Berhad Cawangan Bandar Pusat Jengka, Maran, antara 8 April 2021 hingga 3 Mac 2022.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit bersalah, boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kamariah Seman.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan meminta tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Peguam tertuduh, Shahidah Muslimah Roslan, meminta agar wang jaminan dikurangkan kepada RM3,000 berikutan Moh Roffi menanggung lima anak dan seorang isteri yang merupakan seorang suri rumah selain memiliki seorang anak yang menghidap sakit jantung.

Sementara itu, mahkamah membenarkan tertuduh dikenakan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Mahkamah memutuskan 27 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya