Hamas dakwa Israel cuba gagalkan gencatan senjata - Utusan Malaysia

Hamas dakwa Israel cuba gagalkan gencatan senjata

PENDUDUK mengusung jenazah dari Hospital Al-Shifa menuju ke tanah perkuburan di Gaza kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR GAZA: Hamas menu­duh Israel sengaja meningkatkan serangan ke atas Semenanjung Gaza bagi menggagalkan persefahaman yang dicapai dengan pihak pengantara serta pentad­biran Amerika Syarikat (AS) berhubung penyempurnaan pe­laksanaan perjanjian gencatan senjata.

Dalam satu kenyataan, kumpulan pejuang Palestin itu berkata, serangan Israel sejak pagi Ahad mengorbankan lebih 18 rakyat Palestin selain meragut nyawa seluruh anggota beberapa keluarga.

Menurut Hamas, pengeboman itu merupakan peningkatan sera­ngan secara sengaja oleh kerajaan penjenayah Israel pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Neta­nyahu dengan tujuan menghalang pelaksanaan persefahaman yang dicapai dengan pihak pengantara, termasuk pentadbiran AS untuk melengkapkan usaha perjanjian gencatan senjata.

Hamas menggesa pihak peng­antara dan penjamin perjanjian gencatan senjata supaya memi­kul tanggungjawab mereka, mengutuk serangan Israel dan segera memberi tekanan kepada negara itu agar menghentikan tindakan tersebut serta mematuhi perjanjian berkenaan.

Kumpulan itu menyifatkan serangan tersebut sebagai tindakan yang bersamaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, selain menggesa masyarakat antarabangsa men­gambil tindakan undang-undang bagi memastikan pemimpin Israel dipertanggungjawabkan.

Hamas turut menggesa lang­kah-langkah diambil bagi melindungi rakyat Palestin yang menurutnya terus berdepan ancaman pembunuhan beramai-ramai dan pemindahan secara paksa.

Pada Jumaat, Lembaga Keamanan dan Presiden AS, Do­nald Trump mengumumkan persetujuan untuk melaksanakan fasa seterusnya gencatan senjata di Gaza, dengan lembaga itu memaklumkan Hamas telah mene­rima pelan hala tuju terperinci. 

Israel bagaimanapun me­nyam­paikan kebimbangan mereka kepada AS berhubung pelan bagi Gaza yang dipuji Trump selepas Hamas memaklumkan pihaknya bersetuju untuk melucutkan senjata.

“Israel telah menyampaikan ulasan dan kebimbangannya mengenai rangka kerja yang dicadangkan kepada rakan sejawat kami di AS.

“Versi yang telah didedahkan kepada umum tidak mencerminkan pendirian Israel,” kata jurucakap Pejabat Perdana Menteri, Doron Spielman dalam respons kepada AFP. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×