PETALING JAYA: Lebih sejuta rakyat Palestin di Gaza berdepan malapetaka baharu apabila serangan demi serangan menyebabkan mereka tidak dapat melarikan diri dengan selamat dari zon pertempuran antara Israel dan Hamas ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin Malaysia, Awang Suffian Awang Piut berkata, apabila Israel mengeluarkan amaran dan arahan kepada penduduk Gaza supaya mengosongkan penempatan masing-masing, sebahagian besarnya bertindak untuk berhijrah ke Khan Younis.
Katanya, Khan Younis terletak kira-kira lebih 20 kilometer ke arah selatan dan berhampiran dengan sempadan Mesir.
“Saya mendapat panggilan CEO Aman Palestin Gaza, Omar Seyam yang memaklumkan penduduk Palestin dari Gaza Utara telah berpindah keseluruhannya ke kem Khan Younis.
“Sebanyak 1.2 juta penduduk Gaza bergerak meninggalkan kediaman mereka, Khan Younis adalah bandar bersempadan dengan Israel dengan populasi 500,000 penduduk menyebabkan kawasan itu penuh dengan pelarian. Ia malapetaka baharu kepada rakyat Gaza,” katanya semalam.
PERANG
Awang Suffian berkata, ia bukan sahaja melibatkan penduduk Gaza, tetapi juga mangsa perang di hospital yang turut dipindahkan ke Khan Younis.
“Israel juga mengebom penghijrah rakyat Palestin sehinggakan seramai 150 mati akibat pengeboman.
“Kita juga dapat berita terbaru mengenai Sekolah Quran Malaysia yang didirikan di Palestin kini menjadi tempat rakyat menunggu bantuan makanan, minuman dan sebagainya,” katanya.
Namun, katanya, keadaan di Khan Younis dikhuatiri tidak selamat selain berada dalam keadaan genting dan huru-hara kerana Israel turut mengebom tempat-tempat dan kawasan awam.
“Apabila dibom dan diserang, mereka tak dapat keluar dari Gaza, mereka masih terkepung di Gaza. Walaupun lari ke Khan Younis, pintu sempadan Rafah yang dikuasai Mesir masih ditutup dan belum dibuka untuk rakyat Palestin berhijrah.
“Ada pemimpin yang memberikan arahan supaya rakyat tidak meninggalkan Gaza, tetapi kalau keadaan perang ini terus berlaku, kita tidak tahu macam mana keadaannya nanti,” katanya.
Justeru, beliau berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melobi dan melancarkan gerakan untuk memberi kelonggaran kepada pelarian dan meminta supaya pintu Rafah dibuka.
“Ini untuk memberi bantuan yang sangat penting untuk Gaza kerana di Khan Younis, bekalan air dan elektrik tak ada, keadaannya sangat perit, tapi bantuan akan sentiasa kita berikan dan salurkan,” katanya.- UTUSAN










