PETALING JAYA: Polis memulakan siasatan terhadap seorang Datuk, isteri dan anak lelakinya dipercayai berkaitan syarikat penerbangan MyAirlines Sdn Bhd (MYAirline) yang meliputi pelbagai elemen termasuk aliran sumber kewangan melibatkan rangkaian perniagaan dimiliki Datuk berkenaan.
Tiga beranak masing-masing berusia 57, 55, dan 26 tahun itu ditahan di rumah mereka di Bukit Jelutong, Shah Alam di Selangor pada pukul 5.30 petang kelmarin sebelum direman empat hari bermula semalam.
Penahanan Datuk dan dua ahli keluarganya susulan syarikat penerbangan MyAirline menghentikan operasinya secara mengejut pada 12 Oktober dengan alasan mengalami masalah kewangan kritikal.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penahanan tiga beranak tersebut berdasarkan risikan dan pemerhatian berkaitan rangkaian perniagaan dimiliki mereka yang disyaki mempunyai kaitan dengan pengubahan wang haram.
Menurut beliau, siasatan melibatkan pelbagai elemen termasuk bagi mengenal pasti sumber kewangan dalam rangkaian perniagaan dimiliki tiga individu berkenaan.
“Siasatan polis turut meliputi rangkaian perniagaan yang sebelum ini pernah disiasat Bank Negara Malaysia (BNM) serta syarikat lain dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek.
“Bagaimanapun, ketika ini siasatan masih dalam tahan awal dan kita sedang menjalankan dengan mula mengambil keterangan ketiga-tiga yang kini ditahan reman empat hari, kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Ramli berkata, siasatan terhadap ketiga-tiga individu itu dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
CABARAN
Pada 12 Oktober lalu, MYAirline mengumumkan syarikat itu menggantung operasinya serta-merta akibat cabaran kewangan signifikan selain tindakan pelabur yang didakwa menarik diri pada saat akhir. Tindakan tersebut menyebabkan kira-kira 125,000 penumpang yang membeli tiket semuanya bernilai RM20 juta terjejas.
Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata, tiada penemuan menunjukkan MYAirline berdepan dengan masalah kewangan.
Perkara tersebut hasil dapatan audit keselamatan yang dilakukan ke atas syarikat itu pada 29 Mei higa 1 Jun lalu bagi pembaharuan Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC)
Pada November 2021, Utusan Malaysia melaporkan BNM menyerbu 22 premis milik syarikat I-Serve Online Mall Sdn. Bhd., di sekitar Selangor dan di ibu negara.
Serbuan itu dijalankan susulan siasatan mendapati syarikat e-dagang tersebut dipercayai melakukan pelaburan tanpa lesen berdaftar dengan menerima deposit haram.
Turut dirampas beberapa dokumen berkaitan dan 45 akaun di tujuh bank dibekukan serta wang tunai keseluruhannya berjumlah RM118.7 juta disita.
BNM dilaporkan berkata, serbuan dijalankan selepas syarikat itu disyaki melakukan pelbagai jenayah kewangan. – UTUSAN










