PETALING JAYA: Strategi kerajaan melaksanakan subsidi bersasar adalah mustahil kerana terlalu kompleks untuk menentukan pendapatan setiap individu dan isi rumah.
Oleh itu, tidak ada mana-mana negara melakukan subsidi bersasar sebaliknya jika memberi subsidi ia hanya melibat dua katogeri iaitu kepada warganegara dan tidak kepada warga asing.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof. Dr Baharom Abdul Hamid berkata, mustahil untuk melaksanakan subsidi bersasar kerana untuk mengumpulkan pendapatan setiap warganegara adalah kompleks dan rumit.
“Sebagai contoh, katakanlah saya adalah seorang jutawan tetapi tidak bekerja maksudnya saya tidak ada pendapatan tetapi jika subsidi diberi berdasarkan pendapatan maka saya layaklah untuk membeli barangan bersubsidi.
“Andai kata saya adalah T10 tetapi isteri saya pula adalah seorang suri rumah. Apa yang menghalang isteri saya membeli barangan bersubsidi?
“Atau situasi lain, saya suruh anak saya yang masih belajar untuk isi minyak kereta saya, adakah dia tidak boleh isi? Secara logiknya dia tidak ada pendapatan kerana merupakan pelajar universiti,” kata beliau.
MUNASABAH
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kerajaan akan menyusun semula kaedah pemberian subsidi yang tidak munasabah sehingga turut dinikmati golongan bergaji jutaan ringgit dan warga asing sehingga membebankan kewangan negara.
Malaysia menjadi antara negara paling tinggi menanggung subsidi berbanding negara-negara lain dan kerana itu pemberian subsidi perlu disusun semula.
Oleh itu, kata Baharom, subsidi bersasar juga akan menyebabkan ‘arbitrage’ dalam ekonomi negara iaitu membolehkan sebahagian pihak membeli pada paras harga yang murah dan kemudian menjual pada satu harga lebih mahal.
Menurut beliau, kerajaan tidak boleh hanya memandang kepada jumlah penjimatan yang akan dapat dilakukan sekiranya subsidi bersasar dilaksanakan tetapi sebaliknya melihat kepada masalah dari segi pelaksanaan.
Kata beliau, disebabkan kerumitan melaksanakan subsidi bersasr dalam kalangan rakyat sendiri menyebabkan kebanyakan negara sama ada mereka membuat ‘blanket’ atau langsung tidak ada kawalan.
“Subsidi bersasar ini boleh dikatakan terlalu kompleks dan rumit. Sebab itu tidak ada negara di dalam dunia ini melakukan kaedah tersebut.
“Kebanyakan negara kalau kita lihat pemberian subsidinya hanya ada kategori iaitu untuk warga tempatan dan warga luar. Tidak ada negara buat subsidi berlainan untuk golongan kaya, pertengahan serta miskin sebab ia hampir mustahil untuk dilakukan,” katanya. – UTUSAN










