Muktamar paling ‘sejuk’ demi kestabilan

Muktamar paling ‘sejuk’ demi kestabilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKTAMAR Tahunan Pas Ke-69 yang bermula hari ini di Shah Alam, Selangor dengan persidangan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat dianggap muktamar paling ‘sejuk’.

Ini kerana, selain kepemimpinan tertinggi parti, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat juga dikatakan tiada pertandingan apabila pencalonan yang dihantar didakwa mencukupi ko­rumnya iaitu 21 orang.

Situasi sama dikatakan turut berlaku di peringkat Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat apabila tiada pertandingan akan berlangsung setelah calonnya dilapor menang tanpa bertanding.

TUMPUAN

Ia sepatutnya mencuri tum­puan apabila melibatkan pemilihan kepemimpinan parti hampir di keseluruhan peringkat seperti yang berlaku sebelum ini, namun pada kali ini akar umbinya daripada 197 kawasan dilihat sepakat menstabilkan parti.

Bagaimanapun, tindakan sedemikian semestinya menimbulkan persepsi positif dan negatif terhadap parti sama ada kesepakatan itu benar-benar dicapai di peringkat akar umbi ataupun menunjukkan Pas ke­tandusan pemimpin.

Namun, situasi yang dilihat pada Pas menerusi muktamar yang akan berlangsung sehingga 22 Oktober ini memperlihatkan parti itu mempelajari dan cuba menunjukkan sesuatu iaitu belajar daripada pengalaman lepas dan parti lain serta mempamerkan kestabilan.

Justeru, muktamar yang disifatkan sejuk itu bakal menunjukkan persiapan parti untuk berhadapan dengan pilihan raya-pilihan raya akan datang sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Johor dan Melaka.

Ia dapat dilihat apabila dalam ada pemimpin kalangan kepe­mimpinan Pas menyatakan parti perlu mempamerkan kekukuhan atau kestabilannya yang akan menunjukkan keupayaan mereka untuk memimpin negara melalui kerajaan yang stabil.

“Tunjukkan parti tiada konflik besar dalam kalangan ahli, stabilkan parti, baru boleh stabilkan negara,” antara kata-kata yang didengar.

BLOK

Di samping mempamerkan kekukuhan, Pas masih tidak boleh melupakan ‘tsunami’ yang melanda mereka pada 2015 sehingga wujud persepsi blok ulama dan blok profesional.

Ketika itu, perpecahan tersebut berlaku apabila terdapat kumpulan yang dikatakan pro Pakatan Rakyat (PR) dan mencetuskan kekecohan dalam pemilihannya sebelum kumpulan berkenaan berpecah membentuk parti baharu.

Oleh demikian, pemilihan dalam muktamar kali ini juga menyatakan dengan jelas pendirian Pas dalam membuat keputusan dalaman parti tidak akan dipengaruhi oleh rakan komponen Perikatan Nasional (PN).

Meskipun sejuk, muktamar kali ini dijangka akan dihangatkan dengan dua isu besar iaitu konflik kemanusiaan di Gaza dan kenaikan kadar cukai perkhidmatan lapan peratus.

Konflik kemanusiaan di Gaza dijangka dibawa ke muktamar dan dibahaskan untuk menggesa kerajaan menyatakan pendirian jelas dan menghantar nota bantahan kepada negara-negara pro-Israel.

Ia dapat dilihat menerusi jemputan yang tidak diberikan kepada duta negara-negara dikatakan pro negara haram itu sebagai tanda sokongan dan solidariti itu terhadap keganasan yang menimpa umat Islam di Palestin.

Isu seterusnya yang juga dijangka hangat dibahaskan adalah kenaikan kadar cukai perkhidmatan apabila dasar tersebut didakwa bakal mencetuskan kenaikan harga barang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×