MCM kumpul dana bina masjid baru di Gaza

MCM kumpul dana bina masjid baharu di Gaza

Orang ramai berdiri di atas bumbung melihat api marak dengan asap tebal yang memusnahkan Menara Palestin akibat dibedil pasukan udara Israel di Gaza, Sabtu lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Muslim Care Malaysia (MCM) menggerakkan usaha mengumpul semula dana bagi membangunkan masjid baharu bagi menggantikan Masjid Muhammad Al Amin yang musnah akibat dibedil tentera Israel.

Pada masa sama, MCM turut menyalurkan dana kecemasan RM100,000 sumbangan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin.

Presidennya, Zulkifli Wahijan berkata, walaupun sedih apabila dimaklumkan Masjid Muhammad Al Amin yang dibina pada 2013 hasil sumbangan rakyat Malaysia musnah, ia tidak melunturkan semangat pihaknya untuk membantu rakyat Palestin.

“Satu masjid mereka (Zionis) runtuhkan, 10 masjid kita bangunkan, Insya-Allah. Untuk situasi mendesak ketika ini, kami akan salurkan segera RM100,000 untuk rakyat Palestin melalui Pengerusi MCM Palestin, Ahmad Abu Ayesh yang berpusat di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Masjid Muhammad Al Amin siap dibina oleh MCM dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan Emaar For Development and Rehabilitation Gaza, pada Oktober 2013.

Masjid setinggi dua tingkat dan mampu memuatkan 1,000 jemaah pada satu masa itu, dibina dengan kos kira-kira RM1.4 juta di Khan Younis, selatan bandar Gaza dengan dana hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, selepas genap 10 tahun memberi khidmat sebagai pusat ibadat, perkembangan ilmu dan aktiviti komuniti setempat, Masjid Muhammad Al Amin runtuh menyembah bumi akibat bedilan roket tentera Zionis dalam peperangan terkini Palestin – Israel yang bermula pada Sabtu lalu.

Zulkifli berkata, Pengerusi MCM Palestin, Ahmad Abu Ayesh segera melawat tempat kejadian dan mendapati masjid itu ranap 100 peratus serta tidak boleh lagi digunakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN