ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) K. Devan menolak dakwaan aksi longlai ditampilkan pemainnya ketika tewas 0-3 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) semalam berpunca daripada masalah gaji yang melanda pasukan itu.
Tanpa mahu mengulas mengenai isu berkenaan, Devan berkata, pasukannya turun ke Kedah tanpa memikirkan perkara lain dan hanya fokus untuk bermain bola sepak.
Namun katanya, para pemain berdepan masalah kecergasan kerana tidak memiliki masa mencukupi untuk membuat persiapan selain dihantui isu penggantungan serta kecederaan.
“Setakat ini kami okay dan tak ada masalah. Kami turun ke padang dengan fikiran yang tenang dan anak-anak buah saya fokus, cumanya ada sedikit masalah kecergasan yang mungkin disebabkan latihan yang serius dalam jangka masa pendek.
“Sekarang tak ada masalah, semuanya sudah selesai. Saya tak bercakap secara spesifik mengenai gaji tetapi semua masalah sudah selesai dan disebabkan itu kami berkunjung ke Kedah hanya untuk bermain bola sepak.
“Persiapan kami sedikit terganggu tetapi pemain telah memberikan yang terbaik walaupun kami kehilangan beberapa pemain utama seperti Mark Goulon, Tommy Mawat Bada, Hasbullah Abu Bakar serta Mahali Jasuli akibat kecederaan serta penggantungan,” katanya selepas perlawanan.
Difahamkan pasukan tersebut baru kembali menjalani latihan secara serius sejak kira-kira seminggu lalu.
Sebelum ini terdapat laporan akhbar menyatakan pemain Negeri Sembilan tidak turun berlatih selama hampir dua minggu berikutan isu gaji.
Bagaimanapun pemain sedikit lega sebelum perlawanan menentang KDA kerana mereka dikatakan sudah menerima gaji bagi Ogos selain isu itu turut mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menyatakan kesudian untuk membantu. – UTUSAN










