Malaysia-Turkiye bincang isu pertahanan, keselamatan

Malaysia-Turkiye bincang isu pertahanan, keselamatan

ANWAR Ibrahim dan Mehmet Simsek meluangkan masa berbincang kerjasama kedua-dua negara di Istanbul, Turkiye, semalam. – BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aspek pertahanan dan keselamatan selain kerjasama ekonomi antara isi penting perbincangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Kewangan Turkiye, Mehmet Simsek di Istanbul, semalam.

Anwar yang dalam lawatan kerja berkata, perbinca­ngan tu­rut menyentuh usaha men­depani tentangan ekonomi glo­bal selain meneroka peluang-peluang baharu.

“Perbincangan hari ini turut terkait mengenai aspek pertaha­nan dan keselamatan. Kami juga membincangkan usa­ha mengembangkan potensi pe­laburan dan perdagangan dalam pembangunan teknologi dan pelancongan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Turki sebelum ini menjangkakan nilai dagangan dua hala dengan Malaysia mencapai AS$5 bilion (RM20.9 bilion) men­jelang 2025 dan secara beransur boleh meningkat hingga AS$10 bilion (RM41.8 bilion).

Anwar sebelum itu berada di Arab Saudi bagi mengikuti Sidang Kemuncak ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang pertama kali diadakan sejak kedua-dua blok rantau itu menjalin hubungan pada 1990.

Terdahulu Anwar membe­ritahu, syarikat minyak dan gas terbesar di dunia, Saudi Aramco komited memperluas fasi­litinya di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor bagi menjadi hab terbesar di Asia Tenggara.

Katanya, ia termasuk me­nambah aktiviti hiliran pe­tro­kimia dan gas.

Katanya, perkara itu telah dinyatakan oleh kepimpinan syarikat itu pada sesi perbincangan bersamanya di Hotel Ritz-Carlton, Riyadh semalam.

Lapor Bernama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut bertemu Menteri Perdagangan Arab Saudi, Dr. Majid Abdullah Alkassabi dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco, Amin H. Nasser untuk berbincang lebih lanjut mengenai rancangan pelaburan syarikat itu.

Sebelum ini, Saudi Aramco telah menyuarakan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab perkembangan minyak dan gas Arab Saudi di rantau Asia Tenggara.

Fortune Global 500 pada 2021 menyenaraikan Saudi Aramco di tempat keenam teratas sebagai syarikat paling untung di dunia, dengan perolehan berjumlah AS$105 bilion.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau menerima kunjungan hormat Gabenor Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi, Yasir ALRumayyan yang membincangkan prospek kerjasama dalam bidang pelaburan.

Katanya, PIF yang peranannya sama seperti Khazanah Nasional di Malaysia, bersetuju mengadakan kerjasama dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Ini selaras dengan usaha untuk meningkatkan pelaburan bersama, bukan sahaja di Arab Saudi, malah di Malaysia. Buat permulaan, ada hasrat untuk bekerjasama dengan melakukannya di Iraq dan benua Afrika,” katanya.

Perdana Menteri turut berkongsi perkembangan menarik lain yang melibatkan beberapa syarikat Malaysia dalam projek-projek besar di Arab Saudi, termasuk pembinaan infrastruktur bagi projek NEOM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN