KUALA LUMPUR: Sebanyak 462 sekolah di Sarawak masih mempunyai bangunan daif setakat 30 September 2023.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, ada beberapa faktor yang menyebabkan kelewatan untuk membaiki atau membina semula bangunan baharu.
Katanya, permohonan pelaksanaan projek sekolah daif kepada Kementerian Ekonomi perlu dibuat secara berfasa berdasarkan kepada keutamaan pelaksanaan projek, keupayaan kewangan kerajaan dan keupayaan agensi pelaksanaan projek.
“Bagi tahun 2024, Sarawak diluluskan 11 projek baharu bagi pembinaan semula bangunan sekolah daif melibatkan kos projek RM368.3 juta.
“Kita akan cuba sedaya upaya untuk mempercepatkan proses pembangunan semula sekolah daif,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.
Sejak 2016, katanya, sebanyak 375 projek pembinaan semula bangunan sekolah daif di Sarawak diluluskan dengan kos RM2.59 billion, dengan jumlah yang siap meliputi 687 projek, 104 sekolah dalam pembinaan dan 2015 dalam fasa prabina.
“Sehingga 26 Oktober 2023, status terkini pelaksanaan projek adalah 235 projek telah siap dengan melibatkan kos RM1.039 bilion, 43 projek di peringkat pembinaan dengan kos sebanyak RM436.6 juta dan 97 projek di peringkat prabina dengan melibatkan kos RM1.118 bilion,” katanya.
Beliau menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai status projek pemulihan dan penaiktarafan sekolah daif di Sarawak. – UTUSAN










