PETALING JAYA: Ahli Parlimen Labuan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.
Beliau merupakan ahli Parlimen Bersatu kedua menyokong Anwar selepas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memulakan langkah melawan arus prinsip parti pada 12 Oktober lalu.
Dengan sokongan mereka berdua, kerajaan perpaduan kini mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
PERMASALAHAN
Dalam satu kenyataan, Suhaili berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kesemua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi serta masalah gangguan bekalan air dan elektrik di sana.
Jelas beliau, ini kerana tindakan yang diambil selama 15 tahun lamanya untuk mengatasi semua permasalahan yang dihadapi rakyat Labuan boleh dikatakan bagai melepaskan batuk di tangga sahaja.
“Bagi mengelak sebarang keraguan, saya ingin menyatakan sokongan saya kepada Perdana Menteri dan juga Ketua Menteri Sabah, namun saya akan terus taat, setia dan kekal sebagai Ahli Parlimen Bersatu.
“Saya bersedia menerima sebarang tindakan daripada parti demi memastikan kebajikan rakyat Labuan dan pengundi-pengundi di kawasan saya terbela,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Suhaili turut menyokong dasar dan inisiatif kerajaan yang mengutamakan usaha-usaha memantapkan pembangunan, ekonomi dan kebajikan rakyat negara ini sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 akan datang.
“Pengisytiharan sokongan saya ini kepada kepimpinan PM ke-10 (Anwar) adalah tanpa sebarang paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak dan saya melakukan dengan seikhlas hati demi kepentingan rakyat Labuan,” katanya.
BINCANG
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, nasib Suhaili akan ditentukan dalam masa terdekat selepas parti berbincang dan membuat keputusan.
Katanya, parti baru sahaja dimaklumkan mengenai surat Ahli Parlimen Labuan.
“Saya yakin parti akan membuat keputusan yang sesuai dengan keputusan kita selepas perbincangan diadakan,” katanya di Parlimen semalam.
Pada 27 Oktober lalu, Lembaga Disiplin Bersatu menghantar surat tunjuk sebab kepada Iskandar Dzulkarnain kerana menyokong Perdana Menteri sebelum sebarang tindakan dikenakan ke atasnya mengikut perlembagaan parti.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan, beliau akan didakwa atas kesalahan rasuah. – UTUSAN










