Kerajaan Persekutuan beri perhatian penuh kepada empat negeri

Kerajaan Persekutuan beri perhatian penuh kepada empat negeri

FADILLAH Yusof semasa berucap pada Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan Negeri Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan akan memberikan perhatian penuh kepada Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara negeri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, berdasarkan perancangan pembangunan negara melalui Rancangan Malaysia ke-12 bagi tempoh 2021-2025, empat negeri berkenaan dilihat agak kebelakang berbanding negeri-negeri lain di semenanjung.

Menurutnya, tumpuan itu akan diberikan sebagaimana hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kerajaan mencari kaedah bagi memastikan pelaksanaan projek secara berkesan dan pantas tanpa mengorbankan tata kelola.

“Perkara ini perlu dilihat apatah lagi Kelantan menjadi negeri tumpuan di antara empat buah negeri di Semenanjung iaitu Kelantan,Terengganu, Perlis dan Kedah yang agak kebelakang serta memerlukan pemerhatian.

“Kita perlu mencari kaedah bagaimanana untuk mempercepatkan segala projek, tiada guna kita meluluskan peruntukan lebih RM2 bilion, namun pelaksanaannya tidak dapat dilaksanakan secara berkesan sekali gus menyebabkan projek itu tidak dapat disiapkan dan sebagainya,”katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan Negeri Kelantan di sini hari ini.

Fadillah memberitahu, berdasarkan rekod, Kelantan menerima peruntukan pembangunan tertinggi di kalangan empat buah negeri tersebut bagi tahun 2023.

Katanya, sebanyak RM2.57 Billion telah diluluskan bagi pelaksanaan 447 projek serta program pembangunan di Kelantan.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa serius dalam memastikan pembangunan terus dilaksanakan tanpa mengira perbezaan politik.

“Ketua-Ketua Jabatan khususnya di Jabatan dan Agensi Persekutuan di Kelantan merupakan barisan hadapan dalam merealisasikan hasrat kerajaan membangunkan Malaysia Madani,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN