Kerajaan, Pembangkang kongsi pentas demi Palestin

Kerajaan, Pembangkang kongsi pentas demi Palestin

RIBUAN orang ramai tanpa mengira fahaman politik menyertai Himpunan Solidariti bersama Gaza di pekarangan Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemimpin kerajaan, pembangkang dan rakyat tanpa mengira fahaman politik buat pertama kalinya bersatu dalam satu pentas demi rakyat Palestin.

Antara yang menyertai perhimpunan itu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Selain itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam turut bersama-sama ribuan rakyat Malaysia di pekarangan Masjid Negara, di sini.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh; Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abd. Halim; Ketua Pemuda Pas, Fadhli Shaari dan Ketua Angkatan Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Turut bersolidariti, Ketua Pemuda Dapsy, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan belia.

Mereka bersama ribuan umat Islam berhimpun di pekarangan Masjid Negara selepas solat Jumaat semalam bagi menyatakan solidariti terhadap warga Gaza.

Kelvin Yii pula mengakui beliau amat terkilan dengan penderitaan dihadapi rakyat Palestin.

Malah, tegasnya, walaupun berbangsa Cina dan beragama Kristian, tbeliau tetap bersolidariti dengan rakyat Palestin yang ditindas Israel.

Sementara itu, Fadhli menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua umat Islam yang hadir tanpa mengira latar belakang politik untuk menyatakan kebersamaan dalam isu membela nasib rakyat Palestin.

Beliau juga percaya doa rakyat Malaysia akan sentiasa bersama warga Palestin.

Perhimpunan yang sama membantah kekejaman Israel itu juga diadakan di Perlis, Kelantan dan Johor.

Setakat ini, lebih 1,500 angka korban di Semenanjung Gaza dilaporkan dan mereka yang menjadi mangsa termasuk kira-kira 500 kanak-kanak dan lebih 200 wanita.

Lebih 6,000 lagi dilaporkan cedera sejak rejim Zionis melancarkan gelombang serangan udara selepas serangan mengejut pejuang Hamas yang dilancarkan ke atas Israel.

Selain itu, Israel memerintahkan kira-kira 1.1 juta rakyat Palestin mengosongkan utara Gaza dalam masa 24 jam.

Susulan itu, Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) menempatkan semula pusat operasi dan kakitangan antarabangsanya ke selatan Gaza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN