KOTA BHARU: Kerajaan mengarahkan semua agensi dan jabatan terlibat untuk bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang akan menyebabkan berlakunya banjir terutama di negeri-negeri pantai timur.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penekanan itu melibatkan aspek perancangan persediaan yang melibatkan pelbagai perkara dalam menghadapi MTL.
Menurutnya, semua pihaknya perlu memberikan sokongan penuh kepada agensi dan jabatan terlibat seperti Pejabat Daerah, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan lain-lain pasukan keselamatan yang akan melaksanakan tugas sepanjang tempoh itu.
“Penyelarasan menyeluruh oleh semua agensi yang terlibat amat kritikal khususnya Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekolah-sekolah perlu membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Keselamatan serta kebajikan mangsa perlu dititik beratkan disamping kesiap-siagaan semua agensi khususnya pemberi bantuan dalam menguruskan sumber dan logistik,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan Negeri Kelantan di sini hari ini.
Fadillah memberitahu, sebanyak RM122 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan meliputi pelbagai jenis bantuan banjir yang telah disalurkan kepada mangsa yang terlibat di negeri Kelantan pada tahun ini.
“Saya amat berterima kasih di atas kerjasama daripada Kerajaan Negeri serta semua agensi yang terlibat dalam menguruskan agihan bantuan tersebut kepada mangsa.
“Selain itu, perancangan dan pelaksanaan projek fizikal berkaitan tebatan banjir seperti Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan dan Sungai Golok yang mencecah RM1.3 bilion dijangka akan membantu mengurangkan kesan bencana alam ini kepada Kelantan apabila siap kelak,” ujarnya.-UTUSAN










