ALOR SETAR: Luluh hati seorang pelajar pelajar Palestin yang sedang menuntut di Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), Basma Z. S. Almaza, 22, apabila mendapat mesej daripada keluarganya yang berbunyi ‘jaga diri, kami semua akan mati’.
Malah, lebih menghancurkan hati pelajar jurusan pentadbiran perniagaan itu, kata-kata tersebut adalah daripada ibu kesayangannya, Ibtisam Abu Zauiter, 55, yang kini hidup berantakan sejak Gaza diserang tentera zionis Israel sejak 7 Oktober lepas.
Menurut anak tunggal perempuan itu, ibu bapa serta tiga adik beradik lelakinya kini terpaksa berpindah randah untuk mencari tempat berlindung setelah rumah mereka di Gaza musnah akibat serangan itu.
“Semalam, saya mendapat mesej dari ibu, katanya ‘kami semua akan mati’. Ibu nasihatkan saya jaga diri baik-baik kerana tiada siapa lagi akan menjaga saya selepas ini. Mesej ini menghancurkan hati saya.
“Saya tidak pernah melihat situasi seperti ini di Gaza walaupun serangan sering berlaku kerana sejak lahir saya menyaksikan empat kali serangan tetapi kali ini berbeza. Semuanya hancur jadi debu. Malah hospital, masjid dan bangunan sekolah musnah. Saya tidak dapat bayangkan,” katanya ketika ditemui di kampus AIU, di sini semalam.
Menurut Basma, keluarganya kini terpaksa berlindung di sebuah penempatan di selatan Gaza setelah kediaman mereka musnah pada hari tragedi itu.
“Saya menghubungi ibu setiap hari sejak serangan namun tujuh hari lepas kami terputus hubungan sehingga semalam. Saya mendapat tahu tiada makanan dan air bersih, tidak dapat saya bayangkan keadaan mereka.
“Saya juga tidak dapat bayangkan keadaan kampung halaman saya kerana pangsapuri yang pernah menjadi tempat tinggal kami sekeluarga sebelum ini sudah rebah ke bumi. Tiada lagi kampung halaman saya,” katanya.
Bercerita lanjut, katanya, dia hampir pulang ke Gaza ketika cuti semester bermula sebulan yang lepas untuk menemui keluarga, namun dihalang oleh ibunya.
“Sebelum peperangan ini berlaku saya berhasrat pulang ke Gaza tetapi ibu larang. Saya tanya kenapa? Dia tegas menghalang saya kembali ke Gaza. Katanya kalau peperangan berlaku saya akan terperangkap di Gaza. Firasat ibu sangat kuat,” ujarnya.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan keluarganya adalah dua tahun lepas iaitu ketika mereka menghantarnya di Mesir untuk menyambung pengajian di AIU.
“Ibu yang minta saya datang ke sini. Katanya, kami perlu berkorban. Saya datang kerana ibu dan negara saya. Rancangan saya adalah untuk kembali dan berkhidmat di kampung halaman. Saya ingin pulang melakukan sesuatu untuk negara saya tetapi apa lagi yang tinggal kini.
“Saya sendiri tidak berpeluang mengucapkan selamat tinggal dengan sempurna kepada mereka sebelum ini, tidak memeluk mereka dengan erat sebelum ini tetapi sekarang entah ada lagi peluang saya bertemu mereka semula. Namun doa saya sangat kuat setiap hari agar keajaiban muncul di Gaza,” katanya. – UTUSAN










