Emas mahal, ramai ‘cairkan’ untuk dapat wang tunai - Utusan Malaysia

Emas mahal, ramai ‘cairkan’ untuk dapat wang tunai

MURTADHATUMIZI Mustahapa menimbang berat gelang emas yang dijual di premisnya di Kota Bharu, Kelantan semalam. – UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Peningkatan harga emas yang mencecah sehingga RM307 satu gram dan tertinggi dalam sejarah menyaksikan wanita di negeri ini mengambil kesempatan mencairkan ‘aset’ mereka itu kepada wang tunai.

Tinjauan di beberapa buah kedai emas di sini mendapati golongan wanita mengambil peluang menjual barang kemas masing-masing, malah, ada premis yang kelihatan agak sesak dengan urusan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Mz Gold Sdn. Bhd, Murtadhatumizi Mustahapa berkata, kenaikan harga emas bermula pada penghujung September lalu sehingga semalam.

“Sebelum ini harga emas sekitar RM285 untuk satu gram. Saya menjangkakan harga emas terus naik ke­san daripada konflik di Asia Barat antara Israel dengan Pa­lestin.

“Melihat kepada aliran itu, orang ramai mengambil keputusan untuk ‘mencairkan’ simpanan emas mereka kepada bentuk wang tunai,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut beliau, setiap hari dia akan membeli 700 hingga 1,000 gram emas yang dijual pelanggan di lima buah cawa­ngannya.

Katanya, bagaimanapun ada juga yang mengambil kesempatan untuk membeli emas walaupun harga melambung ketika ini bagi tujuan simpanan.

Bagi pemilik sebuah lagi kedai emas, Roslina Mahmud, 47, berkata, kebanyakan pelanggan yang datang ke kedainya untuk menukar barang kemas lama kepada baharu dengan membuat penambahan wang.

Katanya, penambahan wang itu mengikut berat barang kemas baharu yang mahu dibeli pelanggan.

“Saya lihat pelanggan lebih suka menjual barang kemas sedia ada ketika harga mahal bagi mendapat wang tambahan.

“Namun, ada juga yang datang membelinya, tetapi, tidak serancak ketika harga emas di bawah RM270 untuk satu gram,” ujarnya.

Sementara itu, seorang buruh dikenali Lan, 40, berkata, dia mengambil peluang menggadaikan sementara gelang tangan milik isterinya untuk mendapat wang bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Katanya, peningkatan harga emas ketika ini memberikan sedikit kelegaan buat dirinya kerana apabila digadai ia memberi tunai yang lebih banyak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN