PETALING JAYA: Sudah tiba masa untuk Malaysia mempunyai agensi tunggal atau single border agency (SBA) seperti Amerika Syarikat (AS) mengawal selia sempadan negara bagi mengelak berlakunya pencerobohan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Geostrategis, Azmi Hassan berkata, penubuhan SBA wajar bagi mengatasi pencerobohan melibatkan sempadan supaya dapat dikawal secara sistematik, telus dan lebih teratur tanpa ada kecelaruan dengan banyak agensi.
“Contohnya seperti kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) ada peraturan tersendiri, imigresen (Jabatan Imigresen) pun ada peraturan tersendiri.
“Dari segi keselamatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pun ada peraturan mereka tersendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau mengulas pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani Jumaat lalu mengenai hasrat kerajaan mewujudkan sebuah agensi tunggal sempadan negara atau SBA.
Sebanyak RM20 juta turut disediakan untuk menyelenggara, membaiki serta memperoleh harta modal di pintu-pintu masuk antarabangsa di seluruh negara.
Azmi berkata, ‘peraturan tersendiri’ dimiliki pelbagai agensi di sempadan menyusahkan penyelarasan mengawal dan mungkin membantutkan keadaan dan dari segi keselamatan pula ‘mudah bolos’.
MENGURUS
Kata beliau, sekiranya dilihat bagaimana AS mengurus sempadan negara, hal-hal melibatkan sempadan seperti keselamatan, kedaulatan dan perdagangan antarabangsa, semuanya diuruskan satu agensi.
“Jadi perkara ini akan memudahkan proses penyelarasan manakala dari segi keselamatan pula, akan lebih ketat dan terkawal,” katanya.
Katanya, dengan mewujudkan satu agensi tunggal dalam menjaga sempadan, integriti kedaulatan dapat dijaga kerana hanya ada satu agensi dan tidak perlu melalui proses bertingkat.
Dalam pada itu, bekas Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid berkata, langkah kerajaan memperkasa sempadan dengan menubuhkan SBA wajar dan perlu dilaksanakan secepat mungkin.
Katanya, sebelum ini Malaysia mempunyai Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) dan seterusnya Agensi Keselamatan Sempadan Negara (Aksem) tetapi terpaksa dibubarkan kerana tidak efektif dalam menangani pencerobohan warga asing.
“Memang tidak berkesan, sebab itu dibubarkan, jadi saya harap wujudkan SBA dengan teliti, cari yang betul-betul pakar dan profesional untuk mengetuai atau menyertai agensi berkenaan,” katanya.- UTUSAN










