LONDON: Kecemerlangan Eddie Nketiah mencipta hatrik ketika membantu Arsenal membenam Sheffield United 5-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, semalam mendapat pujian Mikel Arteta yang melabel anak buahnya itu penyerang kelas tinggi.
Walaupun bergelut mencari prestasi, Nketiah telah menyumbat lima gol dalam 10 perlawanan liga sekali gus tertinggi dalam mana-mana saingan teratas liga.
Nketiah menggegar gawang Sheffield pada minit-minit ke-28, 50 dan 58 sebelum pemain gantian Fabio Vieira (m-88) dan Takehiro Tomiyasu melengkapkan kemenangan lewat permainan.
Kemenangan itu melengkapkan minggu cemerlang buat Nketiah yang sebelum ini membuat penampilan sulung dalam skuad England dalam perlawanan persahabatan menentang Australia.
“Saya sangat gembira untuknya. Seorang pemain akademi dan melakukan hatrik dalam liga. Dia perlu menikmati masa ini. Dia layak sepenuhnya dan berharap banyak lagi (jaringan) yang akan datang.
“Dia ada matlamat. Anda lihat statistiknya dari 10 tahun lalu, apa yang dia lakukan sekarang sangat luar biasa. Dia memerlukan minit, peluang dan perkhidmatan. Jika dia berjaya dapatkan itu, Eddie (Nketiah) pasti akan menghasilkan gol.
“Dia pemain yang hebat untuk Arsenal. Dia boleh menjadi lebih baik lagi selepas ini. Bakatnya luar biasa, mentalitinya juga hebat,” katanya.
Pemain berusia 24 tahun itu yang mendedikasikan hatriknya untuk arwah ibu saudaranya berkata, dia sebenarnya mahu mencipta gol keempat menerusi penalti namun gembira apabila rakan sepasukannya, Vieira menyudahkan peluang itu.
“Hasrat saya mahu terus merampas bola dan cuba menjaringkan gol, namun Fabio lebih dahulu mendapat peluang itu dan menjaringkan gol. Ia saat yang cukup mengujakan. Ini adalah kerjasama berpasukan. Dia lebih dahulu mendapat peluang itu,” katanya.
Sementara itu, Arteta mengesahkan kapten pasukan, martin Odegaard diberi rehat kerana masih bergelut dengan masalah pinggul. – Agensi – UTUSAN










