PETALING JAYA: Barisan bekas pemain kebangsaan menggesa Jawatankuasa Road to Gold (RTG) supaya memberi peluang kedua buat skuad hoki negara untuk kekal dalam program elit itu menjelang mesyuarat yang akan bersidang di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.
Hoki di ambang penyingkiran dari RTG setelah gagal mencapai sasaran memenangi pingat emas di Sukan Asia Hangzhou untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, selain Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pula menjelaskan program tersebut bertujuan untuk mencari prospek terbaik negara memenangi pingat emas di Paris tahun hadapan.
Lebih parah, skuad hoki negara turut jatuh ke tangga ke 12 dunia berbanding kedudukan sebelum ini iaitu No. 10 dunia.
Bagi legenda negara, Nor Saiful Zaini yang pernah beraksi dalam tiga edisi Sukan Olimpik, penyingkiran skuad hoki negara dari RTG akan menjejaskan tumpuan serta psikologi pemain memandangkan mereka masih berpeluang layak ke temasya itu menerusi perlawanan pusingan kelayakan Januari depan.
Malaysia akan mengetahui lawan pusingan kelayakan selepas undian pada awal November, sama ada beraksi di Muscat, Oman ataupun Valencia, Sepanyol.
“Bagi saya tidak patut mereka dikeluarkan, kerana sekarang sudah mahu masuk bulan November, lagi dua bulan menuju ke pusingan kelayakan. Jika bantuan itu dihentikan, ia mungkin akan menjejaskan tumpuan mereka kerana saya masih percaya mereka mampu layak untuk ke Sukan Olimpik.
“Mereka patut diberikan peluang kerana sokongan yang mereka dapat menerusi RTG mungkin membantu menghadapi pusingan kelayakan itu,” jelas Saiful.
Nada sama turut dilontar I.Vickneswaran apabila meminta Jawatankuasa RTG tidak memandang kegagalan di Sukan Asia Hangzhou sahaja sebelum membuat keputusan membabitkan nasib skuad hoki negara.
“Benar pencapaian mereka kurang memberangsangkan di Sukan Asia, tetapi kita jangan lihat keputusan di situ sahaja. Mereka beraksi cemerlang di Piala Sultan Azlan Shah dan menjadi naib juara Kejohanan Asia, jadi banyak lagi faktor perlu diambil kira. Kita kena akui untuk sukan berpasukan, hoki adalah yang paling cemerlang untuk negara pada tahun ini,” kata Vickneswaran yang turut bertindak sebagai pengurus skuad remaja negara,” katanya.
Beberapa atlet dari sukan lain di ambang penyingkiran antaranya beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Lai. – UTUSAN










