KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi memberi peluang kedua buat penagih dadah mendapatkan rawatan untuk pulih daripada penagihan tanpa dimasukkan ke dalam penjara
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan ingin memberi peluang kedua kepada kumpulan penagih dadah.
“Kerajaan akan membentangkan pindaan bagi Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi membolehkan penagih dadah menerima rawatan dan pemulihan tanpa dimasukkan ke institusi penjara,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Anwar berkata, sebanyak RM10 juta disediakan bagi melaksanakan program PEKA (Peluang Kedua Anda) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk menyediakan latihan kompetensi yang diakreditasi oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) kepada para pesalah.
“Program PEKA oleh Jabatan Penjara telah berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada para pesalah yang mengakhiri tempoh hukuman,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan turut bersedia mempertimbangkan akses yang terkawal kepada keperluan asas untuk golongan pelarian termasuk pekerjaan, perkhidmatan dan pendidikan.
“Malaysia tidak terkecuali menerima limpahan tempias akibat krisis kemanusiaan dari negara serantau. Kebanyakan pelarian dan pencari suaka di Malaysia adalah dari Myanmar yang tertindas di negara asal,” jelasnya. – UTUSAN










