PETALING JAYA: Projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam di Johor dengan kos RM931 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dengan jajaran lebih 320 kilometer melibatkan kos hampir RM7.4 bilion juga mula dilaksanakan penghujung tahun ini.
“Insya-Allah, Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak siap sepenuhnya tahun hadapan. Sementara itu, proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek Pan Borneo Sabah Fasa 1b dengan jajaran 366 kilometer melibatkan kos RM15.7 bilion akan diselesaikan bulan November ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat di sini, hari ini. – UTUSAN











