PETALING JAYA: Pergerakan arah angin semasa dari tenggara yang melalui Laut Banda, Laut Jawa dan Kepulauan Riau berkemungkinan membawa bersama jerebu dari selatan Kalimantan dan Sumatera ke Malaysia dan Singapura.
Menurut Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpangkalan di Singapura, keadaan diburukkan lagi dengan keadaan cuaca kekal kering selama tempoh 24 jam di Kalimantan dan Sumatera.
Kualiti udara di bahagian selatan dan barat Kalimantan didapati terus tercemar dengan jerebu sederhana menyaksikan beberapa stesen kualiti udara melaporkan status daripada tidak sihat kepada sangat tidak sihat.
TITIK PANAS
Peta petunjuk titik panas jerebu menunjukkan, keadaan sama juga berlaku bahagian selatan Sumatera seperti Palembang dan barat Sumatera termasuk Jambi dan Riau yang diliputi jerebu.
Imej satelit untuk tempoh 24 jam menunjukkan masih terdapat beberapa titik panas tertumpu di tengah Kalimantan seperti Rawi, Palangkaraya, Kualasampit, Pagarantimun dan Timur Kalimantan.
Di bahagian selatan dan barat Kalimantan, jerebu sederhana dilihat berpunca daripada gugusan titik panas berterusan dan kualiti udara di sana terus berada dalam julat tidak sihat hingga kepada sangat tidak sihat.
Sementara itu, tinjauan ASMC untuk beberapa hari akan datang menyaksikan cuaca kering berterusan di tengah dan selatan Sumatera, Jawa dan Kepulauan Sunda Kecil atau Nusa Tenggara.
Walaupun terdapat hujan diramal berlaku di bahagian lain di rantau ASEAN selatan, aktiviti titik panas dan jerebu asap rentas sempadan masih kekal.
Selain itu, angin semasa di kawasan selatan ASEAN dijangka bertiup dari tenggara ke selatan, meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan dan aktiviti hujan berkemungkinan kekal rendah.
Sempadan jerebu menunjukkan kawasan yang mungkin mempunyai jerebu asap sederhana hingga tebal. Kawasan dengan jerebu asap yang lebih ringan tidak ditunjukkan kerana tidak dapat dilihat dengan jelas daripada imejan satelit.
Terdahulu, imej satelit pukul 9 pagi semalam menunjukkan gugusan titik panas dikesan di selatan dan bahagian tengah Sumatera dan selatan Kalimantan sementara beberapa titik panas lagi dikesan di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Sementara itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah bagi menangani isu jerebu di negara ini akan dibahaskan di Parlimen pada 9 Oktober ini.
“Selain saya memberikan penerangan, Ahli Parlimen akan membahaskan langkah bagi menangani jerebu sama ada dari pihak kerajaan ataupun pembangkang,” katanya. – UTUSAN










