PUTRAJAYA: Lebih 500,000 penuntut di 403 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) memerlukan pembiayaan pengajian penuh tanpa mengira kumpulan pendapatan keluarga.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md. Isa berkata, pada masa ini pelajar daripada kumpulan M40 hanya dibiayai 75 peratus dan ia memberi tekanan kepada keluarga yang berusaha bangkit untuk mengimbangi kos sara hidup selepas pandemik Covid-19.
Katanya, tajaan pembiayaan penuh 100 peratus pengajian menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak memerlukan peruntukan tambahan kerana ia boleh dilaksana secara teknikal dengan restu Menteri Pendidikan Tinggi.
“Langkah itu boleh direalisasi menerusi pelaksanaan reformasi pendidikan tinggi termasuk di sektor swasta. Ia khusus dalam usaha pemerkasaan golongan mahasiswa di IPTS sekali gus meningkatkan akses kemasukan pelajar sekolah ke pengajian tinggi.
“Kami berharap PTPTN dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) boleh melihat mekanisme bagaimana untuk memberikan tajaan penuh ini menggunakan dana sedia ada tanpa perlu melibatkan sebarang pindaan akta.
“Tindakan ini sekali gus memberikan satu rangsangan khusus kepada kelompok M40 terutama pelajar bumiputera yang melanjutkan pengajian ke IPTS,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, kerajaan juga wajar mempertimbangkan tawaran pinjaman pendidikan Mara kepada pelajar bumiputera untuk melanjutkan pelajaran ke IPTS menggunakan peruntukan sedia ada atau sekurang-kurangnya tidak mengenakan syarat tertentu.
Sebagai contoh, katanya, sebagai permulaan pembiayaan pinjaman itu boleh diberikan kepada pelajar yang mengikuti kursus tertentu atau disalurkan kepada IPTS yang berdaya saing.
Katanya, sektor itu perlu diberi dokongan supaya IPTS bumiputera boleh terus memainkan peranan dalam menyediakan tempat kepada anak muda dalam pendidikan tinggi tanpa kerajaan memberikan peruntukan khusus kepada IPTS.
Pada masa sama, Amir Hamzah berkata, industri pendidikan tinggi sememangnya perlu berubah dan inisiatif kerajaan melaksanakan reformasi melalui 58 cadangan yang dikemukakan melalui Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) adalah pendekatan baik demi memastikan sektor pendidikan tinggi swasta akan terus relevan.
Katanya, IPTS menyumbang RM31.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nilai aset di kesemua 403 IPTS melebihi RM15 bilion.
Beliau memberitahu, perbelanjaan mengurus IPTS hampir RM8 bilion setahun tanpa sumbangan kerajaan dengan menyediakan akses pendidikan tinggi kepada lebih 500,000 pelajar.
Namun, katanya, keberadaan 75 peratus pelajar antarabangsa di IPTS menyumbang pendapatan melebihi RM11 bilion kepada ekonomi sektor ini dengan sejumlah 35,000 tenaga kerja termasuk hampir 25,000 akademia dan profesional.
“Justeru, sektor ini perlu diberikan dukungan dan dorongan supaya sumbangan ini dapat dipertingkatkan.
“Ia tidak hanya menjadi satu ekosistem atau industri berperanan dalam negara, tetapi diiktiraf di peringkat global termasuk melalui perubahan dari segi dasar pengantarabangsaan dan urus tadbir pengajaran dan pembelajaran.
“Ia mampu menjadikan sektor pendidikan tinggi lebih berdaya saing dan relevan di peringkat global dan Malaysia terus menjadi pilihan pelajar di seluruh dunia,” katanya. – UTUSAN










