PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dengan pihak berkuasa Peru bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kes pemerdagangan manusia sindiket Macau Scam melibatkan 43 rakyat Malaysia di negara berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, buat masa ini pihaknya sedang menunggu maklumat lanjut berkaitan kes tersebut.
“Kita ada menghubungi mereka (polis Peru) melalui Kedutaan Peru di sini pada Khamis lalu bagi mendapatkan maklumat terperinci.
“PDRM masih menunggu dan siasatan akan dijalankan. Bagaimanapun keterangan mangsa akan dibuat selepas kesemua mereka pulang di negara ini nanti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan kesemua 43 mangsa tersebut kini di bawah jagaan polis Peru namun Kedutaan Malaysia di Peru melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.
Selasa lalu, Razarudin dilaporkan berkata, berdasarkan maklumat awal, kesemua mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 26 wanita dan 17 lelaki berusia lingkungan 30-an.
Kata beliau, kesemua mangsa masuk ke negara berkenaan secara sah dengan menggunakan pasport dan membawa wang tunai serta pakaian.
“Sebaik sahaja mereka pulang ke negara ini, kita akan memanggil semua mangsa dan membuat temu bual.
“Kita mahu mengenal pasti siapa yang terbabit (sindiket) dan siapa merekrut mereka serta bagaimana mereka dibawa ke Peru,” kata beliau
Terdahulu, Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan 43 rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket Macau Scam berjaya diselamatkan polis Republik Peru dalam serbuan di Lima, pada 7 Oktober lalu.
Pihak polis mengadakan satu serbuan di rumah di La Molina, di mana kesemua mangsa warganegara Malaysia terbabit sudah dikenalpasti dan diselamatkan. – UTUSAN










