SEREMBAN: Terdapat seramai 3,314 orang bekas banduan di negeri ini yang telah kembali kepada masyarakat kini mempunyai pekerjaan dan gaji yang baik.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata, pekerjaan tersebut termasuklah menerusi peluang yang disediakan menerusi program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).
“Sehingga kini, sebanyak 19 buah syarikat menyediakan peluang pekerjaan kepada banduan melalui program parol, PBSL, Perintah Kehadiran Wajib (PKW) yang telah dikenal pasti di Negeri Sembilan.
“Terdapat seramai 3,314 bekas banduan sehingga kini yang telah dikembalikan semula ke dalam masyarakat dengan disediakan pekerjaaan dan gaji yang baik,” katanya kepada pemberita selepas Program MyPride Fair Peringkat Zon Tengah, Jabatan Penjara Malaysia di sebuah pasar raya di Seremban 2 di sini hari ini.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Dalam pada itu, Abdul Aziz memberitahu, penjara-penjara di Negeri Sembilan kini telah disusun semula mengikut keperluan Civilized Humane Culture Development Centre (CHCDC).
“Penjara Seremban merupakan Penjara Admission dan Reman, Institut Pemulihan Dadah Jelebu sebagai Training Prison dan Pusat Reintegrasi Penghuni Penghuni Mantin sebagai Resettlement Prison.
“Penjenamaan ini penting bagi memberi fokus terhadap keperluan yang berbeza selain mampu memudahkan proses penilaian secara individu terhadap setiap banduan bagi memudahkan program intervensi yang bersesuaian,” katanya.
Sementara itu, Program MyPride Fair, Peringkat Zon Tengah, Jabatan Penjara Malaysia yang sedang berlangsung sehingga 7 Oktober ini merupakan inisiatif Jabatan Penjara Malaysia untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk vokasional dan industri yang dihasilkan sendiri oleh penghuni penjara.
Ia dihasilkan oleh banduan yang sedang mengikuti Program Pemulihan Fasa III (Program Kemahiran) di Penjara Negeri Sembilan dan Selangor.
“Kesemua produk yang dihasilkan ini akan dijual dan kemudiannya akan memberi pendapatan kepada penghuni penjara yang bekerja di bengkel institusi penjara,” katanya.-UTUSAN.