PETALING JAYA: “Sudah 24 jam (sehingga pagi semalam) isteri dan anak-anak saya tidak dapat dihubungi selepas mereka berpindah untuk mendapatkan perlindungan di rumah saudara mara,” kata Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Muhammad Nadir atau lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri yang juga Pengerusi Ahli Majlis Tertinggi MyAqsa Defenders adalah antara rakyat Malaysia yang menetap di Semenanjung Gaza namun kini berada di tanah air.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, isterinya, Reem Al-Minawi bersama lapan anaknya berlindung di kediaman adik iparnya sejak mula serangan Zionis terhadap Gaza pada Sabtu lalu.
Menurutnya, isteri dan anak-anaknya terpaksa meninggalkan kediaman adik iparnya selepas sebuah masjid yang berada pada jarak tiga meter dari pangsapuri tersebut musnah dibedil roket Zionis pada Isnin lalu.
“Mereka terpaksa berpindah-randah untuk mendapatkan perlindungan namun sejak malam semalam (kelmarin) saya tidak dapat menghubungi mereka. Saya cuba untuk berfikiran positif kerana ketika ini tentera Israel memotong bekalan elektrik dan sumber air kepada penduduk Gaza.
“Jadi kebanyakan penduduk Gaza terputus hubungan dengan dunia luar hampir keseluruhannya kerana hanya bergantung kepada generator untuk menjana bekalan elektrik,” katanya.
Berdasarkan pengalamannya, apabila bekalan elektrik dan air dipotong rejim Israel, penduduk Gaza akan mengalami masalah komunikasi dengan dunia luar walaupun mempunyai generator yang dikuasakan menggunakan bahan api.
Susulan itu, Muhammad Nadir, keadaan penduduk di Semenanjung Gaza semakin tenat apabila Israel turut mengebom pintu sempadan Gaza-Mesir di Rafah supaya tiada bantuan sampai ke Gaza.
Katanya, Israel juga memberi amaran akan mengebom mana-mana konvoi bantuan kemanusiaan atau apa juga bentuk bantuan yang cuba dihantar kepada Gaza melalui pintu sempadan Rafah. – UTUSAN










