UPNP kutip kompaun RM1.4 juta setakat Ogos - Utusan Malaysia

UPNP kutip kompaun RM1.4 juta setakat Ogos

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri melalui Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) berjaya memperoleh kutipan kompaun berjumlah RM1.4 juta hingga Ogos lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi tempoh itu juga, sebanyak 96 kes berjaya dibanteras melibatkan sitaan jentera dan eksibit sebanyak 229 buah.

Katanya, pada tahun lalu, UPNP mengutip kompaun RM1.5 juta dengan sebanyak 133 kes dicatatkan melibatkan penyitaan jentera dan eksibit sebanyak 177 buah.

Beliau berkata, kesemuanya merangkumi kesalahan Kanun Tanah Negara, Enakmen Mineral Negeri Pahang, Akta Perhutanan Negara dan Enakmen Sumber Air Pahang.

“Selain itu, kerajaan negeri juga menekankan pendakwaan dijalankan bagi semua kesalahan sebagai pengajaran dan contoh supaya tiada pihak sewenangnya menceroboh tanah kerajaan negeri.

“Menyambut baik hasrat itu, sebanyak lapan kes sudah dibawa ke muka pengadilan. Satu kes yang melibatkan kesalahan Pasir Silika di Kuantan telah dijatuhkan hukuman denda RM200,000 atau penjara setahun, serta semua jentera yang disita telah diperintahkan untuk dilucut hak kepada kerajaan negeri.

“Perkara ini merupakan titik tolak untuk UPNP membawa lebih banyak kes ke pendakwaan bagi menjaga kepentingan dan sumber negeri Pahang daripada terus dirompak,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Wan Rosdy juga berkata, keberhasilan penguatkuasaan yang dijalankan UPNP tidak boleh dinilai menerusi kutipan kompaun atau denda sahaja sebaliknya boleh ditafsirkan secara tidak langsung dengan peningkatan hasil di Pejabat Daerah dan Tanah serta anak syarikat negeri.

“Sebagai contoh kutipan royalti bahan
batuan daerah Temerloh, meningkat 150 peratus iaitu dari RM2.3 juta pada tahun 2021 kepada RM3.5 juta pada tahun 2022. Daerah Lipis meningkat 169 peratus iaitu dari RM385 ribu pada tahun 2021 kepada RM653 ribu pada tahun lalu.

“Pencapaian ini merupakan salah satu contoh keberkesanan tindakan penguatkuasaan yang dapat dilihat secara tidak langsung, iaitu peningkatan pematuhan oleh semua pengusaha,” ujarnya.

Katanya lagi, selain sitaan dan tangkapan, UPNP juga menjalankan penguatkuasaan di atas tanah milik anak syarikat negeri Pahang dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) selaras Seksyen 425 (2) Kanun Tanah Negara bagi membantu syarikat seperti Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang, Pahang Corporation Sdn. Bhd., Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Bantuan tindakan penguatkuasaan ini penting kerana selepas peneroka haram berjaya dibanteras, pelabur dan pemajak tanah berkaitan boleh membawa masuk pelaburan baru dan meningkatkan hasil bagi Kerajaan Negeri Pahang.

“Sehingga kini, UPNP berjaya menjalankan tindakan penguatkuasaan bagi tanah seluas 1,360 ekar dan membolehkan tanah berkaitan ini dipajak dan diusahakan secara komersial bagi meningkatkan hasil Negeri Pahang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya