JOHOR BAHRU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru ahli dan penyokong UMNO untuk meninggalkan parti tersebut dan menyertai perjuangan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, UMNO sekarang bukan lagi seperti UMNO dahulu yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air, sebalik kini perjuangan hanya demi Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Dahulu UMNO pegang banyak kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri), tetapi selepas PRN (Pilihan Raya Negeri) baru-baru ini, berapa sahaja kerusi mereka yang tinggal. Ini yang terjadi apabila pemimpin UMNO adalah penyangak, jangan percaya, sebab itu mereka kalah dan orang tidak hormat lagi kepada UMNO dan tak mungkin UMNO hidup semula.
“Jadi, nasihat saya kepada saki- baki UMNO, tinggalkan sahaja, sokonglah PN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ini kerana PN akan perjuangkan nasib semua pihak, Melayu dan juga bukan Melayu,” katanya pada Ceramah Grand Finale PN di Jalan Dataran Utama, Taman Kempas, di sini malam ini.
Yang turut hadir, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau serta Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dr. Mahathir berkata, orang Melayu perlu sedar bahawa perjuangan UMNO ketika ini adalah untuk membebaskan Presidennya serta kepimpinan UMNO yang lain.
“Saya yakin kalau PN menang, bukan sahaja Melayu, Cina dan India juga akan terpelihara kerana kaum Melayu tidak zalim. Lihat sahaja sejarah untuk menilai bagaimana pentadbiran orang Melayu, khususnya di negara ini.
“Dahulu masa British menjajah negara, mereka tak bagi muka kepada orang Cina, tidak ada ahli perniagaan Cina menjadi kaya dan berjaya seperti sekarang. Tetapi apabila Merdeka dan kerajaan Melayu mentadbir, orang Cina boleh maju dan berjaya dalam perniagaan.
“Kita (orang Melayu) telah setuju mereka (Cina) pandai berniaga, tetapi jangan tuntut dan katakan ini negara kamu, ini tanah kamu. Itu kita tidak boleh terima, kerana hakikatnya orang Cina hanya akan menjadi maju dalam perniagaan apabila orang Melayu memerintah,” jelasnya.
Sehubungan itu, Dr. Mahathir menegaskan bahawa tiada bukti bahawa PN akan bersikap zalim terhadap masyarakat bukan Melayu sekiranya mereka berjaya memerintah negara.
“Saya mahu kenalkan diri, nama saya Mahathir, saya orang Melayu dan saya menyokong perjuangan parti politik Melayu, saya sokong perjuangan PN,” katanya sambil disahut ribuan penyokong PN yang hadir. – UTUSAN