PETALING JAYA: Pemimpin khususnya dari Pas yang lantang memprotes tindakan pemimpin DAP yang memetik ayat suci al-Quran diingatkan supaya tidak bertindak secara melulu.
Pendekatan melontar kata-kata kurang sopan terhadap penganut bukan Islam dikhuatiri menyebabkan mereka yang menggunakan ayat al-Quran sebagai rujukan akan jauh daripada mendekati Islam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ahmad Yunus Mohd. Noor berkata, Pas tidak wajar berasa kedudukan Islam tergugat hanya kerana Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How merujuk ayat suci al-Quran untuk menyokong pandangannya.
Sedangkan, katanya, Islam adalah agama ‘rahmatan lil alamin’ atau rahmat untuk seluruh alam.
“Saya faham niat mereka baik, tetapi tindakan mereka ini lebih berniat politik. Pas sebelum ini banyak mengguna hujah dan dalil al-Quran, jadi, mereka rasa tergugat apabila orang bukan Islam menggunakannya.
“Seolah-olah hanya mereka sahaja boleh menggunakan ayat al-Quran kerana mereka adalah parti Islam. Bila orang lain guna rasa tercabar. Situasi begini menyebabkan bukan Islam akan lebih jauh daripada menerima Islam.
“Kita mahu beri peluang orang bukan Islam mengamalkan cara dan pendekatan Islam supaya mereka terbuka hati untuk menerimanya sebagai ad-din (agama) satu hari nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) itu supaya siasatan dan tindakan dikenakan terhadapnya kerana didakwa menghina Islam.
Pada Jumaat lalu, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Perak, Nurhafizul Badrul Hisyam membuat laporkan polis ke atas Howard Lee kerana didakwa melakukan provokasi melampau dengan membuat tafsiran sendiri terhadap al-Quran.
Menteri Besar Kedah yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md. Nor pula melabelkan Howard Lee sebagai celupar kerana dikatakan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat suci al-Quran.
Dalam video yang dikongsi di aplikasi TikToknya sebelum ini, Howard Lee memetik sebahagian ayat 59 surah an-Nisa’ yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”
Dalam video itu, beliau juga mengkritik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan sejumlah pemimpin parti yang didakwanya membawa fahaman Khawarij yang mengkafirkan umat Islam lain.
Beliau kemudian memetik sebahagian daripada ayat 59 surah an-Nisa’ tersebut dan mengaitkannya dengan usaha Pas dalam melawan kerajaan, sedangkan pentadbiran sekarang adalah kerajaan yang sah kerana dipilih melalui pilihan raya, diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan diperakui dalam Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN










