KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan optimis majoriti ahli Parlimen termasuk pembangkang tidak menentang usaha kerajaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang akan dibentang bulan depan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, meskipun ada segelintir ahli Parlimen membantah pembentangan dan pelaksanaannya, Dewan Rakyat mempunyai 222 ahli yang diyakini memihak dan meluluskannya nanti.
Katanya, rang undang-undang yang dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen adalah demi kebaikan bersama sekali gus melahirkan generasi sihat dan bebas rokok.
“Kita ada 222 ahli Dewan Rakyat. Saya rasa tiada yang akan menentangnya sebab (rang undang-undang) ini benda baik kan? Sekarang jawatankuasa sedang berbincang apa yang mereka cadang dalam rang undang-undang ini. Sekarang mereka sedang menjalankan tugas mereka dan mengadakan sesi libat urus bersama pakar-pakar dan pemegang taruh.
“Selepas ini, mereka (jawatankuasa) akan datang kepada kementerian pula dan kerajaan akan membentangkannya bulan depan,” katanya ketika ditemui di Parlimen semalam.
RUU itu bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik kepada individu yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007.
Pada 22 Ogos lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dilaporkan membantah cadangan memperkenal RUU itu kerana mendakwa kerajaan mengawal gaya hidup dan menyekat kebebasan memilih rakyat, serta mewujudkan kemungkinan undang-undang lain diguna untuk mengawal kebebasan rakyat.
RUU tersebut telah dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 12 Jun lalu. Bagaimanapun, Zaliha memberitahu, RUU itu dirujuk sekali lagi kepada JKPK Kesihatan Parlimen.
Keadaan itu menimbulkan kekecewaan dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana terdapat desakan untuk negara memiliki undang-undang seumpama itu secepat mungkin.
Ia adalah kali kedua dibawa kepada jawatankuasa tersebut selepas pertama kali dibentang bekas Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin pada tahun lalu.
Pada asalnya, RUU itu dinamakan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022. – UTUSAN










