JOHOR BAHRU: Selepas lebih 10 tahun berkelana mencari rezeki di Rio de Janeiro, Brazil, Md. Zain Awang teruja untuk menunaikan tanggungjawabnya mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pulai, hari ini.
Menurutnya, walaupun usianya sudah menjangkau 53 tahun, ia adalah kali ketiga dia menggunakan haknya sebagai pemilih pada proses pilihan raya yang diadakan bagi memilih wakil rakyat.
Dia sudah merantau mencari rezeki di luar negara sejak 2004 dan sebelum itu dia belum pernah mengundi.
“Saya berkelana ke luar negara sejak 2004, sudah merata saya merantau kerja di ‘offshore’ sebelum ke Brazil pada 2010.
“Setelah sukar mendapat cuti dan terpaksa berpisah lama dengan isteri dan anak-anak, maka saya mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air pada 2021 selepas lebih 10 tahun di Brazil,” katanya kepada Utusan Malaysia di Sekolah Agama Dato’ Omar Yusof, Kampung Pasir, di sini hari ini.
Md. Zain pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac tahun lalu dan seterusnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lalu.
“Sebagai rakyat, kita perlu tahu tanggungjawab sebagai pengundi untuk memilih pemimpin yang mampu mentadbir negara dengan baik.
“Dahulu saya tidak cakna soal politik, namun setelah melihat pergolakan yang berlaku beberapa tahun yang lalu, sebagai rakyat kita perlu main peranan kita,” katanya yang hadir bersama isteri dan bapa mentuanya, Ismail Ahmad, 86.
Walaupun bapa mentuanya sudah uzur, namun tetap bersemangat untuk mengundi bagi menentukan siapa pemimpin yang layak menjadi wakil rakyat di kawasan itu.
“Saya mula mengundi pada era 60-an, dan sejak itu tidak pernah terlepas sekali pun menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat yang prihatin.
“Walaupun keadaan tidak mengizinkan, saya sanggup datang asalkan hak sebagai pengundi dapat diterjemahkan,” kata Ismail. – UTUSAN