Tahanan di Guantanamo masih dibicara

Tahanan di Guantanamo masih dibicara

Kompleks Penjara Guantanamo Bay di Cuba. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha membawa pulang dua tahanan rakyat Malaysia dari penjara Teluk Guantanamo, Cuba ma­sih di peringkat perbincangan awal.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, kedua-dua­nya, Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin masih melalui proses perbi­caraan di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat (AS).

“Ia masih dalam perbinca­ngan awal, kita tidak dapat pastikan sama ada mereka boleh dibawa pulang ke negara ini atau sebaliknya,” kata sumber itu.

Dalam pada itu, usaha kerajaan membawa pulang dua rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Teluk Guantanamo, Cuba berkemungkinan bagi membolehkan mereka menjalani program deradikalisasi di negara ini sebagai langkah pemulihan.

“Berkemungkinan, mereka dibawa balik bagi menjalani program deradikalisasi,” katanya ringkas.

Kedua-dua rakyat Malaysia berkenaan berasal dari Muar, Johor dan Kajang, Selangor.

Pada 25 September lalu, kerajaan berusaha mempercepatkan urusan bagi membawa pulang dua rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Teluk Guantanamo, Cuba.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau membincangkan perkara tersebut dalam satu pertemuan bersama Wakil Khas Hal Ehwal Guantanamo, Tina Kaidanow di New York, baru-baru ini.

Beliau berkata, pertemuan berkenaan merupakan kali kedua serta pertemuan susulan daripada lawatan beliau ke Teluk Guantanamo.

Ujarnya, beliau bertemu sendiri dengan kedua-dua rakyat Malaysia yang ditahan di penjara tersebut.

Pada Ogos 2003, Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin berdepan dengan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera AS termasuk tujuh berkaitan pengeboman yang mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott, Jakarta.

Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN