ARAU: Mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bayaran gratuiti atau ganjaran sekali bayar boleh difikirkan untuk menggantikan skim pencen wakil rakyat.
Kaedah itu boleh dilaksanakan kerana cadangan menghapuskan skim pencen wakil rakyat bukan mudah untuk dilaksanakan biarpun ada unjuran mengatakan kos pencen bekas ahli Parlimen serta jawatan yang layak termasuk menteri mencecah sehingga RM2 bilion.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik yang juga pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, gaji ahli Parlimen misalnya boleh dikenakan potongan KWSP 15 peratus.
Katanya, mereka juga boleh diberikan bayaran gratuiti atau ganjaran secara one-off selepas tamat perkhidmatan mengikut kadar yang difikirkan bersesuaian.
Ujarnya, pelaksanaan berkenaan berkemungkinan boleh terpakai kepada lantikan bermula pada 2024 atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Sekarang ini, sudah banyak pelan persaraan selain KWSP berkenaan termasuk insurans dan sebagainya. Jadi pelaksanaan tersebut dilihat sesuai dilaksanakan kepada bekas ahli Parlimen dan anggota pentadbiran ini.
“Pelaksanaan seperti ini mungkin bakal mendapat tentangan pada peringkat awal namun orang akan mula memahami selepas itu sekali gus turut mengelak implikasi kewangan terlalu tinggi,” katanya.
Beliau mengulas tulisan Minda Pengarang Utusan Malaysia kelmarin berkaitan hadkan pencen ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada satu.
Minggu lalu, seorang bekas penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri mencadangkan supaya skim pencen yang diterima ahli Parlimen ditukar kepada caruman KWSP.
Sebelum ini, ahli Parlimen perlu lengkap tiga penggal sebelum mendapat pencen namun beberapa tahun lalu, ia diubah kepada 36 bulan termasuk anggota pentadbiran layak mendapat pencen.
Jadi ahli Parlimen dan mereka yang memegang jawatan dalam pentadbiran seperti menteri layak mendapat pencen selepas perkhidmatan berterusan 36 bulan dan mereka yang dilantik sebagai senator atau ahli Parlimen bertaraf menteri juga mendapat pencen.
Mengulas lanjut, Muhammad Izmer berkata, apa sahaja perubahan yang kerajaan harus lakukan atau langkah yang dicadangan oleh ahli ekonomi harus realistik dan perlu ada impak terhadap ekonomi rakyat.
“Saya berpandangan kalau penjimatan yang kerajaan kena buat (skim pencen) boleh dilaksanakan untuk ahli Parlimen PRU16 akan datang dan bukan yang menyandang sekarang.
“Sebenarnya banyak dasar lain boleh dilakukan untuk penjimatan atau menaikkan pendapatan kerajaan melalui cukai yang lebih telus seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) contohnya,” katanya. – UTUSAN










