Siasat segera kesahihan ‘memo dalaman’ kes Najib - Utusan Malaysia

Siasat segera kesahihan ‘memo dalaman’ kes Najib

MOHD. FAKHRUL AKHMAL Mohamed (tengah) mengetuai Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan membuat laporan polis di Balai Polis Pekan di Pekan, Pahang bagi menggesa mana-mana pihak untuk mengesahkan tentang dokumen yang tular di media sosial didakwa 'Memo Dalaman' daripada AGC. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Siasatan segera perlu dilakukan oleh pihak berwajib bagi menyiasat kesahihan dokumen mengenai enam pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Mohd. Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, meskipun Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh sudah mengeluarkan kenyataan pada 18 Ogos lalu mendesak siasatan dilakukan tentang kesahihan dokumen terbabit, namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan diambil.

“Kami dimaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan untuk menyiasat kebocoran dokumen tersebut, namun terkilan kerana sehingga ke hari ini, tidak ada maklum balas sahih yang menjawab kepada tuntutan agar siasatan dijalankan sama ada dokumen tersebut beserta isi kandungannya sahih ataupun tidak.

“Namun, amat mendukacitakan apabila Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan bahawa Peguam Negara kini sedang bercuti sehingga beliau bersara kelak pada 6 September nanti.

“Tindakan Peguam Negara mengumumkan bercuti tanpa memberikan hasil siasatan dan maklum balas wajar kepada desakan Pergerakan Pemuda UMNO telah meninggalkan isu ini tergantung tanpa ada sebarang jawapan dan secara tidak langsung memberikan impak negatif kepada tahap keyakinan orang awam kepada AGC,” katanya di sini.

Beliau sebelum itu mengetuai Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan membuat laporan polis di Balai Polis Pekan di sini bagi menggesa mana-mana pihak untuk mengesahkan tentang dokumen yang tular di media sosial didakwa ‘Memo Dalaman’ daripada AGC.

Sebuah dokumen yang didakwa ‘Memo Dalaman’ Jabatan Peguam Negara oleh pasukan pendakwaan International Petroleum Investment Company (IPIC) setebal 12 muka surat bertarikh 10 September 2019 menyentuh berkenaan dengan enam pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib dan Mohd. Irwan.

Isi kandungan dokumen yang tular tersebut berbentuk rekomendasi dari pasukan pendakwaan IPIC yang sebulat suara mengambil pendirian bahawa enam pertuduhan tersebut tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah bagi mendapatkan kes prima facie.

Dokumen yang tular tersebut didakwa ditujukan kepada Tan Sri Tommy Thomas selaku Peguam Negara ketika itu.

Pada 19 Ogos lalu, Pemuda UMNO Malaysia menggesa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyiasat kesahihan dokumen mengenai enam pertuduhan terhadap Najib dan Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang tular di media sosial baru-baru ini.

Akmal dilaporkan berkata, pihaknya mengambil serius tentang perkara ini memandangkan dakwaan pendedahan-pendedahan yang dicatatkan dalam dokumen tersebut mengandungi rumusan keterangan terperinci yang jelas memberi kesan kepada kes pertuduhan terhadap Najib yang masih berjalan di mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya