Seramai 58 pengunjung lalok ditahan di pusat hiburan - Utusan Malaysia

Seramai 58 pengunjung lalok ditahan di pusat hiburan

POLIS menahan 58 pengunjung pusat hiburan yang positif dadah dalam dua serbuan di bandar raya Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis menahan seramai 58 pengunjung dua pusat hiburan di bandar raya ini selepas didapati positif dadah pada awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 36 lelaki dan 22 wanita berusia antara 19 hingga 56 tahun.

Operasi itu melibatkan enam pegawai dan 36 anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bersama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Kontinjen Johor bermula 12.45 tengah malam hingga 3 pagi.

“Hasil serbuan yang dilakukan, polis menjalankan pemeriksaan terhadap 210 individu yang sedang asyik berhibur di premis berkenaan.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati 58 pengunjung positif dadah jenis ketamin dan methamphetamine.

“Dalam serbuan itu, seorang penjawat awam yang sedang dalam tempoh tahan kerja turut diperiksa dan diserahkan untuk tindakan jabatan apabila hasil saringan awal air kencing negatif,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamarul Zaman berkata, hasil pemeriksaan di kedua-dua premis tersebut mendapati ia beroperasi mengikut masa dibenarkan dan mempunyai lesen perniagaan yang sah.

Dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan empat warga asing kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi tindakan susulan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua individu yang ditahan direman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN