PETALING JAYA: Malaysia perlu menyelesaikan beberapa isu pertikaian sempadan dengan negara-negara jiran termasuk China dan Indonesia sebelum membuat peta baharu bagi membuktikan ketegasan sebagai sebuah tanah air berdaulat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, tokoh sejarah, Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, meskipun negara mempunyai alasan dan bukti termasuk dokumen sejarah, namun, perkara itu perlu melalui undang-undang antarabangsa bagi memperkukuhkan sebarang tuntutan pertikaian.
Menurut beliau, Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan peta baharu dengan memasukkan kawasan pertikaian kerana tindakan berkenaan boleh mengundang reaksi tidak puas hati negara lain.
“Jika hendak perbaharui, sebarang pertikaian kena diselesaikan dengan undang-undang antarabangsa agar semua pihak puas hati dengan sebarang tuntutan kepulauan dan perairan.
“Gagal berbuat demikian menunjukkan Malaysia seperti negara lain membuat peta baharu dengan memasukkan kedaulatan negara lain.
“Kita perlu tegas dalam soal kedaulatan, tetapi kena ikut saluran betul bagi mengelakkan pertikaian dan reaksi antarabangsa,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, akhbar ini memetik pandangan pakar undang-undang maritim antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli bahawa Malaysia harus mengeluarkan peta terbaharu yang menunjukkan dengan jelas wilayah maritim negara di Laut China Selatan setelah kali terakhir dibuat pada 1979.
Bagaimanapun, Felo Kanan Akademi Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata, Malaysia tidak perlu mengeluarkan peta baharu kawasan geografi negara seperti dilakukan China kerana Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) masih terpakai dan melindungi hak kedaulatan serta perairan sesebuah negara mengikut perundangan maritim antarabangsa. – UTUSAN










