'Saya tiada kena mengena dengan calon Bebas PRK Pelangai - Zaini - Utusan Malaysia

‘Saya tiada kena mengena dengan calon Bebas PRK Pelangai – Zaini

MOHAMAD ZAINI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh menegaskan bahawa beliau tiada kena mengena dengan calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Haslihelmy DM Zulhasli.

Menurutnya, beliau tidak pernah berhubung, berbincang ataupun bercakap dengan calon terbabit tentang keputusannya bertanding Bebas pada PRK tersebut.

Beliau berkata, apa dinyatakan oleh Haslihelmy merupakan pandangan peribadi apabila mengaitkan namanya sebagai penyebab beliau bertanding Bebas.

“Saya tiada apa-apa perbincangan termasuk menaja calon Bebas berkenaan. Dalam isu ini, saya hanya mengetahuinya selepas dilaporkan di media sosial dan arus perdana.

“Ini merupakan fitnah kepada saya yang berniat jahat bagi menjejaskan reputasi saya sebagai Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong,” katanya di sini hari ini.

Ketika ditemui pemberita pada hari penamaan calon PRK DUN Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul semalam, Haslihelmy dilaporkan sebagai berkata, beliau bertanding sebagai calon Bebas kerana kecewa keputusan pucuk pimpinan BN tidak mencalonkan Mohamad Zaini.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) itu dilaporkan berkata, beliau melihat Mohamad Zaini lebih layak menjadi calon BN berbanding Datuk Amizar Abu Adam yang didakwanya calon kitar semula dan mudah ‘ditarik telinga’.

“Kenyataan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar kata Datuk Seri Zaini berlapang dada, mana ada berlapang dada. Orang politik, nada dia bercakap pun kita sudah tahu. Jadi tak payahlah temberang kata berlapang dada. Saya berhubung dengannya,” dakwa Haslihelmy.

Mengulas lanjut, Mohamad Zaini berkata, beliau berharap pengundi di Pelangai tidak terpengaruh dengan dakwaan calon Bebas tersebut.

“Saya tidak berasa kecewa pun tidak dicalonkan BN pada PRK DUN Pelangai. Semasa majlis pengumuman calon BN pun, saya berucap dan menyatakan sokongan penuh terhadap calon dipilih. Saya juga menyatakan pada pilihan raya kali ini, kita tidak rela kalah.

“Saya juga ingin memberikan jaminan bahawa tidak berlaku perpecahan di peringkat UMNO Bahagian Bentong. Kita sudah pun menandatangani aku janji kepada Menteri Besar dan Presiden parti, siapa sahaja dipilih menjadi calon kita akur,” katanya.

Beliau juga ingin menjelaskan bahawa calon Bebas itu menjadi individu pertama membeli borang di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang pada 29 Ogos lalu bagi menawarkan diri bertanding calon Bebas pada PRK DUN Pelangai.

“Ini bermakna, hasratnya bertanding dinyatakan awal lagi dan ia tiada kena mengena dengan saya. Saya percaya jika saya dicalonkan pun, akan ada isu lain dibangkitkan oleh calon Bebas tersebut untuk bertanding.

“Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa, ini merupakan fitnah kepada saya dan saya percaya kepimpinan UMNO negeri mengenali saya dan tahu pendirian saya, ia tidak akan menjadi ancaman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya