Saya terima kekalahan, akan terus berjuang - Zulkifli - Utusan Malaysia

Saya terima kekalahan, akan terus berjuang – Zulkifli

Zulkifli Jaafar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar menerima kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dengan hati terbuka pada percubaan pertamanya di pentas pilihan raya.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulai itu mengakui kekalahan tersebut perit baginya namun perjuangan dalam PN tidak akan terhenti di situ sahaja.

Walaupun tewas dengan majoriti 18,641 undi, Zulkifli berpuas hati kerana sudah melakukan yang sedaya mampu bersama-sama jentera parti sepanjang 14 hari berkempen.

“Saya menerima keputusan ini, kalah atau menang itu adat pertandingan. Walau bagaimanapun, saya tidak akan melatah kerana perjuangan bersama PN tidak akan terhenti di sini.

“Saya berterima kasih kepada semua jentera yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen, kepada kenalan, sahabat dan penduduk di kawasan Parlimen Pulai.

“Saya terima keputusan ini dan berpuas hati kerana terdapat perkembangan baik berbanding sebelum ini, secara tidak langsung menggambarkan sokongan rakyat mula beralih kepada PN,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama PN di Permatang Kempas, di sini.

PRK Parlimen Pulai menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat memenangi kerusi itu dengan majoriti 18,641 undi apabila meraih memperoleh 48,283 undi, mengenepikan saingan Zulkifli dengan 29,642 undi dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi  yang meraih 528 undi.

Kemenangan bekas Speaker  Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu membolehkan Amanah mengekalkan kerusi yang dimenangi oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Keputusan itu amat bermakna bagi kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat apabila menguasai 148 daripada 222 kerusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN