Rombak Kabinet: Apa misi Anwar?

Rombak Kabinet: Apa misi Anwar?

ANWAR Ibrahim perlu mencari individu yang benar-benar layak memegang jawatan menteri kali ini, bukan sekadar memenuhi kuota parti semata-mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi berdepan spekulasi rombakan Kabinet menjelang ulang tahun pertama pentadbirannya sebagai Perdana Menteri pada November ini.

Pertukaran lima individu jawatan tertinggi dalam kerajaan secara serentak berkuat kuasa hari ini melibatkan tiga ketua setiausaha bertukar kementerian, seorang ketua se­tiausaha dilantik sebagai ke­tua pengarah jabatan manakala seorang lagi dinaikkan pangkat, daripada timbalan kepada ketua setiausaha menguatkan lagi spekulasi itu.

Pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dua bulan lalu seolah-olah membuka jalan kepada Anwar untuk meneliti semula prestasi kesemua jemaah menteri dan membuka peluang kepada beliau untuk merombak Kabinet selepas hampir setahun mentadbir negara.

BERHASRAT

Jika Anwar tidak berhasrat untuk merombak Kabinet, beliau tidak perlu mengambil masa sehingga lebih dua bulan untuk melantik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kerana jawatan itu hanya perlu diisi oleh Ahli Parlimen atau pemimpin dari parti Amanah.

Adly Zahari sering dikaitkan dengan jawatan yang ditinggalkan Salahuddin dan jika bekas Ketua Menteri Melaka itu dilantik memegang jawatan tersebut, Anwar perlu melantik Timbalan Menteri Pertahanan baharu bagi mengisi kekoso­ngan yang ditinggalkan Adly.

Jelas pelantikan kedua-dua jawatan tersebut tidak memerlukan tempoh yang lama untuk diisi, melainkan Anwar sememangnya berhasrat untuk membuat rombakan Kabinet.

Selain itu, keputusan kes mahkamah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga memberi peluang untuk Anwar melantik Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu memegang jawatan lebih penting.

Rombakan kemungkinan besar bukan sahaja dibuat berdasarkan prestasi menteri, tetapi juga mempertimbangkan keperluan kerajaan ketika ini termasuk mewujudkan kementerian baharu.

SENATOR

Bukan itu sahaja, Anwar juga berpeluang untuk melantik menteri selain daripada 146 Ahli Parlimen sedia ada, sama seperti dilakukannya dengan pelantikan empat senator sebagai menteri.

Jika Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak menarik sokongan dan terus mendukung kerajaan, beliau pastinya akan turut dipertimbangkan jawatan menteri dalam rombakan ini.

Apa yang pasti, Anwar perlu mencari individu yang benar-benar layak memegang jawatan menteri kali ini, bukan sekadar memenuhi kuota parti kerajaan perpaduan semata-mata.

Pelantikan menteri hanya akan menjadi sia-sia jika mereka masih gagal menghasilkan impak sewajarnya kepada negara.

Anwar masih mempunyai tempoh empat tahun lagi untuk mentadbir negara namun beliau tidak boleh membuang masa jika benar-benar mahu memulihkan ekonomi dan keyakinan rakyat di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN